AGENDANASIONAL

PAKATAN gesa tolak Belanjawan 2021, tidak penuhi kehendak rakyat

SHAH ALAM, 14 DIS: Pakatan Harapan (PAKATAN) menggesa semua ahli parlimen pembangkang dan Kerajaan supaya menolak Belanjawan 2021 dalam pengundian kali ketiga di Dewan Rakyat.

Dalam kenyataan media bersama, PAKATAN berkata Belanjawan 2021 tidak menepati objektif dan matlamat bagi memerangi Covid-19, membantu rakyat dan menghidupkan semula ekonomi.

“Rakyat sedia maklum bahawa apa diumum menteri kewangan sama ada sewaktu pengumuman atau penggulungan Belanjawan 2021 mahupun dalam siri kenyataan media tidak memenuhi apa dipohon dan diharapkan ramai ahli-ahli Parlimen malah juga rakyat.

“Ini termasuklah isu KWSP, isu moratorium pinjaman bank, isu bantuan kepada petugas barisan hadapan (frontliners) dan yang terkesan akibat pandemik Covid-19, isu pendidikan anak-anak kita, pendapatan yang berkurangan, pekerjaan yang hilang, kos sara hidup yang makin meningkat dan banyak lagi,” kata kenyataan itu.

PAKATAN berkata sebelum ini mereka membahaskan Belanjawan 2021 di peringkat dasar dan jawatankuasa, dan akhirnya membuat undian belah bahagi pada bacaan kali ketiga esok.

Kenyataan media bersama itu diwakili pimpinan Parti Keadilan Rakyat Saifuddin Nasution, Parti Amanah Negara Datuk Dr Hatta Ramli dan Parti Tindakan Demokratik Anthony Loke.

 


Pengarang :