BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Pandu 16,000km rentas 15 negara

Sempena Hari Keputeraan ke-75 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 11 Disember 2020

Oleh Norrasyidah Arshad

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj meminati kegiatan lasak terutama sukan permotoran.

Menang pingat perak dalam kategori kereta klasik, baginda melalui pelbagai negara dengan merentasi perjalanan sejauh 16,000km membabitkan 15 negara antaranya Indonesia, China, Mangolia, Tibet, Nepal, Pakistan dan Perancis.

Baginda menempuh jarak pemanduan lebih 600 kilometer (km) sehari yang disudahkannya dalam masa 43 hari ketika menyertai perlumbaan kereta vintaj Cabaran Motor Peking-Paris pada 1997.

Sultan Sharafuddin bersama rakan karib sejak kecil Richard Gurtis sebagai pemandu arah menamakan kumpulannya Team Hard Rock Asia. Baginda memandu kereta antik Ford Saloon Model B buatan 1932 yang dipanggil ‘Humpty Dumpty’.

Biarpun dibesarkan di istana, baginda tidak gentar menempuh pelbagai cabaran termasuk memandu antara 12 hingga 16 jam sehari dan tiada kemudahan penginapan selain berdepan suhu sejuk sebelum menamatkan perlumbaan di kota Paris bersama 88 peserta lain. Seramai 99 peserta menyertai perlumbaan tersebut.

Ketika itu, baginda berusia 52 tahun dan masih bergelar Raja Muda ketika menyertai cabaran bertaraf dunia yang diperkenalkan pada Januari 1907.

Sultan Sharafuddin mengulanginya pada 10 tahun kemudian ketika baginda telah ditabal sebagai Sultan Selangor.

Kali ini, perlumbaan membabitkan perjalanan sejauh 14,000km dengan menempuh banyak negara antaranya China, Mongolia, Rusia, Estonia, Latvia, Lithuania, Poland, Republik Czech, Jerman dan Perancis.

Namun, hanya separuh perjalanan sempat dilalui baginda dengan kereta Chevrolet Fangio 1940. Mengikut The Sunday Star pada Mei 2005, Perlembagaan tidak membenarkan baginda berada di luar negara melebihi 30 hari.

Sebenarnya, Sultan Selangor sudah berjinak-jinak dengan acara rali kenderaan klasik sejak 1987 dengan menyertai acara Dickson Vintage Equator Run anjuran Malaysia Singapore Vintage Car Registration (MSVCR).

Baginda memandu kereta MG J2 dalam perlumbaan bermula dari Singapura ke Kota Tinggi, Johor.

Sultan Sharafuddin juga menyertai rali Louis Vuitton Vintage Equator Run pada 1993 menggunakan kereta Ford Tudor (atau model B).

Minat baginda diteruskan lagi pada 2015 dengan menyertai misi cabaran rali The Road To Mandalay dari Singapura ke Myanmar sejauh 8,000km yang turut disertai 69 kereta lain.

Dalam acara yang berakhir di Yangon, Myanmar, Sultan Sharafuddin menganggap cabaran sepanjang pemanduan disertai sebagai ujian ketahanan memandu kereta klasik Jaguar XK140 FHC keluaran 1956.

Pada November 2015, baginda berkenan mempamer tujuh kereta klasik milik baginda di pameran NST-MAI Asean Autoshow 2015 termasuk tiga yang digunakan dalam rali iaitu Jaguar XK120, XK140 dan XK150.

Keunikan kereta klasik milik baginda menggamit lebih 65,000 pengunjung di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines (MIECC).

Pada masa ini, semua koleksi kereta baginda disimpan di Galeri Kereta Diraja di Istana Alam Shah Klang. Selain kereta klasik dari jenis Mercedes, Ferrari, Porche dan Jaguar, bangunan dua tingkat itu turut mempamerkan aksesori kereta dan motosikal.


Pengarang :