Atlet wushu Selangor menjalani latihan bagi persiapan Sukma di Pusat Latihan Wushu Selangor, Rawang pada 5 Julai 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

Pastikan kekal fokus, MSN Selangor bincang prestasi atlet secara maya

SHAH ALAM, 20 DIS: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor mengadakan perbincangan secara maya bersama jurulatih dan atlet sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pengarah Eksekutifnya Mohamad Nizam Marjugi berkata langkah tersebut bertujuan memantau prestasi atlet serta mendengar cadangan untuk menambah baik program latihan.

“Setakat ini MSN sudah mengadakan mesyuarat dalam talian melibatkan lebih 10 jenis sukan kerana kita mahu mereka kekal fokus dan berdisiplin.

“Kita juga sedang mempertimbang untuk mengadakan sesi motivasi secara maya atau bersemuka awal tahun depan, cadangan ini akan dibincangkan lebih lanjut,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Mohamad Nizam berkata MSN sebelum ini menganjur kem berpusat dengan menjemput pakar psikologi bagi menguatkan mental atlet dan memastikan mereka kekal bersemangat meskipun tiada kejohanan besar.

Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA 2020 Johor yang sepatutnya diadakan pada 6 hingga 14 Mac dibatalkan susulan penularan Covid-19 yang memasuki gelombang ketiga.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata Johor tetap diberikan hak penganjuran untuk edisi 2022 kerana negeri itu hampir 99 peratus bersedia dari segi perancangan,
pengurusan, teknikal dan kemudahan pertandingan.


Pengarang :