Pecca Group Bhd (Pecca) mengesahkan pekerja pengeluaran anak syarikatnya, Pecca Leather Sdn Bhd (PLSB) positif ujian Covid-19 dalam saringan dijalankan syarikat baru-baru ini. Foto Sumber: Laman Sesawang Pecca Group
AGENDANASIONAL

Pecca sahkan pekerja pengeluaran anak syarikat positif Covid-19

KUALA LUMPUR, 22 DIS: Pecca Group Bhd (Pecca) mengesahkan pekerja pengeluaran anak syarikatnya, Pecca Leather Sdn Bhd (PLSB) positif ujian Covid-19 dalam saringan yang dijalankan oleh syarikat baru-baru ini.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Pecca berkata PLSB menjalankan saringan segera terhadap 597 pekerja serta mengesan kontak dan langkah-langkah kuarantin untuk mengurangkan penularan Covid-19.

“Selain itu, PLSB menguatkuasakan penjarakan fizikal dan langkah-langkah perlindungan yang dipertingkatkan, menyediakan tempat tinggal berasingan untuk pekerja yang tidak terjejas dan menjalankan aktiviti pembasmian kuman dan sanitasi di kawasan pengeluaran dan ruang awam.

“Bagi melindungi keselamatan pekerja dan kemudahan, PLSB turut memutuskan untuk menutup operasi aras pengeluaran dari 21-27 Disember, 2020,” katanya.

Sehingga 21 Disember, semua hasil ujian swab yang diterima menunjukkan 246 kes positif dan pekerja yang terjejas mendapat rawatan perubatan yang diperlukan, manakala kontak rapat menjalani kuarantin dan akan menjalani ujian selanjutnya.

Setakat ini, katanya tiada kes positif yang dicatatkan dalam kalangan pekerja yang bekerja di pejabat.

“Kos untuk ujian swab, langkah-langkah kuarantin dan proses pembasmian kuman dianggarkan sehingga RM500,000.

“Impak daripada penutupan operasi pengeluaran selama tujuh hari dijangka terhad kepada kurang daripada lima peratus daripada pendapatan tahun kewangan 2021 kumpulan,” katanya.

Pecca berkata sementara menunggu perkembangan lanjut dalam tempoh ini dan rundingan selanjutnya dengan Kementerian Kesihatan, PLSB menyasarkan untuk menyambung semula operasi pengeluaran selewat-lewatnya pada 28 Disember, 2020.

-BERNAMA


Pengarang :