Datin Seri Masdiana Muhamad ketika ditemu bual SelangorKini selepas sesi lawatan pusat taska anak-anak petugas barisan hadapan di Taska Tambahan Hospital Banting, Banting pada 30 November 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMA SELANGOR

Pekawanis biaya yuran pelajar, peruntukan lebih RM200,000

BANTING, 1 DIS: Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) memperuntukkan RM215,000 bagi membiayai yuran pelajar di 43 Dewan Undangan Negeri (DUN).

Yang Dipertuanya, Datin Seri Masdiana Muhamad berkata setiap DUN menerima RM5,000 dan perlu memilih pelajar yang benar-benar layak.

“Memandangkan yuran setiap sekolah berlainan, antara RM45 hingga RM100 untuk seorang pelajar, jadi kita tidak tahu berapa ramai pelajar yang dapat dibiayai.

“Bagaimanapun kita akan pastikan pelajar yang layak terutama golongan berpendapatan rendah menerima manfaat ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat taska tempat kerja Hospital Banting semalam.

Masdiana berkata ketika ini proses mengenal pasti pelajar dan pengumpulan data sedang dilakukan.

Sebelum ini, isteri Dato’ Menteri Besar itu memaklumkan Pekawanis akan menggantikan peruntukan baucar ‘Back To School’ tahun hadapan kepada pembayaran yuran sekolah.

Datin Seri Masdiana Muhamad beramah mesra bersama anak asuhan ketika sesi lawatan pusat taska anak-anak barisan hadapan di Taska Tambahan Hospital Banting, Banting pada 30 November 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :