KWSP pada 2 Disember 2020 memperincikan skim i-Sinar bagi pengeluaran Akaun 1 kepada semua ahli yang terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19. Foto: BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pelaburan KWSP masih mampu bertahan depani cabaran

KUALA LUMPUR, 6 DIS: Pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terbukti masih terus bertahan sejauh ini walaupun terdapat cabaran unik yang dihadapi pasaran dalam keadaan kelembapan ekonomi ketika ini.

KWSP berkata, ini berpandukan kepada alokasi aset strategiknya dan pihaknya akan terus mempelbagaikan pelaburan dalam pasaran domestik dan global dengan mempertimbangkan keperluan aliran tunai yang mencukupi setiap waktu, termasuk waktu-waktu melampau dan tidak diduga seperti wabak.

“Pada asasnya, KWSP adalah pelabur jangka panjang dan setiap keputusan pelaburan yang dibuat akan terus mempertimbangkan tanggungjawabnya untuk mengekalkan dana anggota walaupun dalam situasi yang belum pernah terjadi sebelumnya seperti wabak ini.

“Pada masa ini, dan berpandukan struktur i-Sinar sedia ada, semua tindakan KWSP akan memastikan tiada impak kepada pasaran domestik,” katanya dalam maklum balas kepada media yang dikeluarkan semalam.

KWSP juga berkata, pihaknya memahami keperluan ahli untuk mengeluarkan simpanan mereka untuk bertahan dalam waktu sukar ini, namun berharap pihak pencarum dapat membuat perancangan mengenai jumlah yang mereka perlukan.

“Ini adalah untuk memenuhi keperluan hari ini sambil meminimumkan kesan persaraan mereka di masa hadapan.

“KWSP mengalu-alukan ahli untuk berjumpa pegawai khidmat nasihat persaraan untuk mendapatkan sebarang nasihat kewangan,” katanya.

Mengenai kaedah pengisian semula KWSP selepas pengeluaran i-Sinar dilakukan, dana pencen itu berkata, semua caruman pada masa hadapan akan disalurkan ke Akaun 1 sehingga jumlah yang dikeluarkan diisi semula.

“Setelah jumlah yang dikeluarkan diisi semula, caruman akan kembali ke asal iaitu 70:30 di Akaun 1 dan Akaun 2,” katanya.

KWSP juga akan memastikan tindakan diambil terhadap majikan yang tidak bekerjasama memastikan kelancaran permohonan i-Sinar ahli.

-BERNAMA

 


Pengarang :