EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han bergambar bersama selepas melawat tapak parkir kereta baharu di Batu 14, Jalan Puchong, Puchong pada 31 Disember 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Pelawat Klinik Kesihatan Batu 14 Puchong nikmati parkir baharu

PUCHONG, 31 DIS: Sebanyak 45 tapak letak kenderaan melibatkan kos RM144,000 bersebelahan Klinik Kesihatan Batu 14 di sini siap dibina sepenuhnya Oktober lalu.

EXCO pembangunan kampung baru berkata kemudahan itu melegakan pengunjung yang selama ini berdepan masalah parkir kenderaan setiap kali ke klinik berkenaan.

“Saya difahamkan sebelum ini mereka terpaksa meletakkan kenderaan di tepi jalan raya kerana parkir dalam klinik selalu penuh. Tindakan itu sekali gus menganggu lalu lintas dan membahayakan keselamatan.

“Oleh itu, saya mengambil langkah manfaatkan tapak kosong ini sebagai kawasan parkir bagi menampung bilangan pelawat yang semakin meningkat setiap hari,” kata Ng Sze Han ketika melawat tapak parkir kereta baharu di Batu 14, Puchong hari ini.

Mengulas sama ada tapak parkir itu dikenakan caj bayaran atau tidak, Sze Han berkata ia adalah percuma khusus kepada kenderaan ringan sahaja.

Ahli Majlis Bandaraya Subang Jaya, Thomas YS Low. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Sementara itu, Ahli Majlis Bandaraya Subang Jaya Thomas Low Yew Sin berharap pengunjung klinik dapat manfaatkan kemudahan tersebut.

“Saya berterima kasih kepada beliau (Sze Han) kerana membantu dan menyokong menjayakan pembinaannya. Diharap selepas ini orang ramai tidak lagi parkir di tepi jalan raya kerana mengganggu terutama ketika ambulans keluar masuk,” katanya.

Bekas Pengerusi Ahli Panel Klinik Kesihatan Puchong, Dato’ Dr Kannan. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Manakala, Bekas Pengerusi Ahli Panel Klinik Kesihatan Puchong, Dato’ Dr Kannan mencadangkan agar beberapa tapak parkir dikhaskan kepada golongan kelainan upaya (OKU) atau warga emas.

“Terima kasih kerana menyediakan kemudahan ini. Saya cadangkan pemandu yang membawa pesakit boleh turunkan penumpang (pesakit) OKU atau warga emas sebelum letak kenderaan di sini,” katanya.


Pengarang :