Pegawai LUAS melakukan persampelan bau di aliran air yang keluar dari kolam ternakan ikan keli Sungai Tinggi, Hulu Selangor pada pada 8 Disember 2020. Foto Facebook LUAS
AGENDANASIONAL

Pemilik kolam ikan keli sebabkan Sungai Selangor tercemar ditahan

KUALA LUMPUR, 24 DIS: Seorang pengusaha kolam ternakan ikan keli tanpa lesen bersama empat pekerja warga Indonesia ditahan kerana disyaki terlibat dengan kes pencemaran air di Sungai Selangor, Selangor pada 7 Dis lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Fadzil Ahmat berkata lelaki berumur antara 28 hingga 50 tahun itu ditahan menerusi serbuan di Bukit Sentosa, Hulu Selangor, Selangor pada Selasa.

Beliau berkata pemilik kolam ikan keli berumur 50 tahun yang terletak di Serendah, Selangor itu dipercayai melepaskan air kolam ikan keli miliknya sehingga membawa kepada pencemaran itu.

“Siasatan lanjut turut mendapati kolam ternakan itu beroperasi tanpa lesen sejak tiga tahun lepas manakala kesemua suspek direman selama sehari bermula semalam.

“Polis akan memohon sambungan reman di Mahkamah Majistret Hulu Selangor bagi melengkapkan siasatan,” katanya dalam kenyataan.

Fadzil berkata kes disiasat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan perbuatan khianat sehingga tindakan yang dilakukan akan memutuskan bekalan air untuk tujuan pertanian, makanan atau minuman kepada manusia dan haiwan atau dalam menjalankan sebarang pengeluaran.

Pada 8 Dis, Bernama melaporkan pembuangan air kolam ternakan ikan keli secara haram dikenal pasti menjadi punca pencemaran bau yang mengakibatkan Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang dan LRA Sungai Selangor Fasa (SSP) 1, 2 dan 3 dekat Hulu Selangor, terpaksa dihenti tugas.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor Hee Loy Sian berkata ia berdasarkan siasatan awal yang mendapati terdapat bau bangkai ikan pada sampel sumber air mentah yang diperoleh di Sungai Selangor.

-BERNAMA


Pengarang :