Dua wanita mengenakan pelitup muka sebagai langkah pencegahan virus Covid-19 ketika berada di kawasan membeli-belah Orchard Road, Singapura pada 10 Mac 2020. Foto AFP
AGENDA GLOBAL

Pemvaksinan Covid-19: Singapura mula dengan pekerja kesihatan pada 30 Dis

SINGAPURA, 27 DIS: Singapura akan mula melaksanakan pemvaksinan Covid-19 dengan pekerja kesihatan di Pusat Kebangsaan bagi Penyakit Berjangkit (NCID) pada 30 Dis ini, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu hari ini.

Menurut kenyataan MOH di sini, pemvaksinan akan turut dilaksanakan di lebih banyak institusi penjagaan kesihatan pada minggu berikutnya.

Singapura menerima penghantaran pertama vaksin daripada Pfizer-BioNTech pada 21 Dis lepas dan menjangkakan menerima stok vaksin Covid-19 berikutnya dalam tempoh beberapa bulan.

MOH berkata ia berhasrat memulakan pemvaksinan dengan golongan warga emas yang berusia 70 tahun dan ke atas pada Februari 2021.

“Selepas itu kita akan memvaksin rakyat Singapura lain dan penduduk tetap yang sudah lama berada di negara ini serta layak dari segi perubatan untuk pemvaksinan,” menurut kenyataan itu.

MOH berkata kerajaan Singapura hari ini menerima syor Jawatankuasa Pakar mengenai Pemvaksinan Covid-19 yang dikemukakan pada 24 Dis lepas berhubung strategi keseluruhan pemvaksinan.

Antaranya ialah semua individu yang menetap di Singapura termasuk warganegara dan penduduk tetap serta pemegang pas jangka panjang yang layak dari segi perubatan hendaklah divaksin.

Bagi memastikan akses kepada vaksin itu dan membolehkan republik tersebut mencapai kadar lebih tinggi pemvaksinan populasi, ia akan dilakukan secara percuma, menurut MOH.

Kementerian itu berkata Jawatankuasa Pakar juga telah mengendors penggunaan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech di Singapura bagi individu berusia 16 tahun dan ke atas.

Jawatankuasa itu juga mencadangkan bahawa pemvaksinan hendaklah dilakukan secara sukarela.

– BERNAMA


Pengarang :