AGENSISELANGOR

Pengalihan paip putus selesai 10 pagi – Air Selangor

SHAH ALAM, 31 DIS: Kerja pengalihan paip sementara yang terputus susulan tanah runtuh di Damansara Utama selesai jam 10 pagi tadi, maklum Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Bagaimanapun, ketua komunikasi korporatnya berkata bekalan air belum dapat disalurkan pada jam 11.30 pagi kerana proses akhir mengukuhkan tebing dan struktur paip di lokasi sedang dijalankan.

“Pengukuhan struktur ini sangat penting bagi memastikan kestabilan paip yang dialihkan. Air Selangor memohon maaf di atas kelewatan untuk menyalurkan bekalan air kepada pengguna di kawasan terjejas,” kata Elina Baseri dalam kenyataan.

Tambahnya, kerja pengukuhan yang dijalankan atas bahu atas bahu jalan Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint) dijangka selesai jam 2.30 petang.

Elina memaklumkan pihaknya terus menyediakan bantuan bekalan air alternatif melalui lori tangki sedang digerakkan ke kawasan terlibat.

Menurutnya, pengguna juga boleh mendapatkan bantuan bekalan air alternatif melalui tangki statik yang ditempatkan di dua Pusat Khidmat Setempat (PKS).

Untuk perkembangan kerja pembaikan, layari laman sesawang www.airselangor.com atau rujuk saluran komunikasi melalui Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi pusat perhubungan di talian 15300.


Pengarang :