AGENSISELANGOR

Pengalihan paip putus siap 67 peratus – Air Selangor

SHAH ALAM, 30 DIS: Kerja pengalihan paip sementara yang terputus susulan tanah runtuh di Damansara Utama siap 67 peratus setakat jam 8 malam tadi, maklum Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Ketua Komunikasi Korporatnya Elina Baseri berkata kerja pembaikan yang dimulakan sejak 12.30 tengah malam tadi berjalan lancar mengikut jadual.

“Air Selangor sedang berusaha untuk memastikan kerja pembaikan ini dapat disegerakan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata pengguna terjejas boleh mendapatkan bantuan bekalan air melalui lori tangki yang sedang digerakkan ke kawasan terlibat.

Katanya, bekalan alternatif juga boleh diperoleh melalui tangki statik yang ditempatkan di dua Pusat Khidmat Setempat (PKS).

Untuk perkembangan kerja pembaikan, layari laman sesawang www.airselangor.com atau rujuk saluran komunikasi melalui Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi pusat perhubungan di talian 15300.


Pengarang :