AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pengguna disaran semak pengesahan halal jika ragui status produk

SHAH ALAM, 28 DIS: Pengguna disaran mendapatkan pengesahan status halal sesuatu produk jika meragui kesahihan tanda tersebut ketika membuat pembelian.

EXCO Pengguna dan Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata pengesahan boleh disemak melalui badan yang mengeluarkan sijil itu menggunakan telefon pintar.

“Di samping mendapatkan kepastian untuk diri sendiri, mereka juga boleh menjadi mata telinga kepada kerajaan dalam menangani isu ini dengan melaporkan produk yang menggunakan tanda halal palsu.

“Tindakan prihatin seperti ini merupakan salah satu fardu kifayah yang perlu dipikul bersama oleh rakyat dan kerajaan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya tidak menyebarkan berita palsu yang boleh menimbulkan kegusaran dan mengganggu emosi orang ramai.

Terdahulu, Mohd Zawawi mengulas isu kartel yang mendalangi penyeludupan daging import dari negara sumber tidak sah termasuk diragui status halal dan kualitinya.

Wakil rakyat Sungai Kandis berkata Kerajaan Negeri akan meningkatkan pengeluaran produk daging tempatan yang tidak diragui status halal sebagai usaha jangka panjang.


Pengarang :