Medan Selera @15B, Seksyen 15, Shah Alam pada 14 Disember 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Penjaja jalanan Shah Alam teruja dapat berniaga di medan selera baharu

SHAH ALAM, 15 DIS: Penantian sekumpulan penjaja jalanan di sini hampir empat tahun akhirnya berbaloi apabila medan selera baharu di Seksyen 15 siap sepenuhnya.

Setiausaha Persatuan Peniaga Medan Selera @15B, Rohani Md Jani berkata akhirnya 13 penjaja yang dahulunya berniaga di tepi jalan sudah ditempatkan di medan selera berkenaan.

Setiausaha Medan Selera @15B, Rohani Md Jani. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Alhamdulillah, bila sudah pindah ke gerai baharu, kami lebih selesa. Paling penting dekat sini ada tempat letak kereta yang luas, mudah untuk pelanggan datang.

“Surau dan tandas yang selesa juga disediakan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk kemudahan peniaga dan pelanggan,” katanya kepada SelangorKini.

Peniaga makanan vegetarian, Liew Kok Meng, 57, berkata beliau berharap medan selera berkenaan dipromosikan lebih kerap memandangkan ia baru sahaja dibuka.

Peniaga, Liew Kok Meng. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Kebanyakan yang datang adalah pelanggan lama saya, kerana mereka tahu kami akan berpindah ke sini. Tetapi sekarang peniaga lebih ramai dan ia membolehkan orang ramai membuat pelbagai pilihan.

“Walau apapun, saya sangat seronok berniaga di sini kerana tempatnya yang sangat selesa,” katanya.

Medan Selera @15B yang terletak di Jalan Soket 15 mula dibina pada 2016 oleh MBSA dan siap sepenuhnya tahun ini.


Pengarang :