AGENDANASIONALPENDIDIKAN

Penyelidik Malaysia bawa pulang hadiah, pingat SIIF 2020

KUALA LUMPUR, 6 DIS: Penyelidik Malaysia membawa pulang satu hadiah utama selain 19 pingat emas, 11 perak dan lapan gangsa, menerusi penyertaan dalam Seoul International Invention Fair (SIIF 2020).

Presiden Persatuan Saintis Penyelidik Malaysia (MARS) Dr Muhd Noor Muhd Yunus berkata, walaupun dunia masih lagi bergelut dengan pandemik Covid-19, penyelidik negara tetap aktif menghasilkan pelbagai inovasi bagi manfaat sejagat.

Beliau berkata inovasi daripada Malaysia biasanya mendapat perhatian juri-juri di negara itu, kerana bukan sahaja memenuhi kriteria tetapi juga mempunyai potensi serta kualiti tinggi.

“Inovasi Malaysia yang bertanding telah melalui saringan yang ketat, selain turut memenangi Pingat Emas dalam pertandingan yang dianjurkan di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pertandingan yang berlangsung pada 1 hingga 4 Disember lepas di Korea Selatan itu, turut disertai Agensi Nuklear Malaysia, SIRIM Berhad, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan University College Sedaya International (UCSI) Education.

Selain itu, lebih 42 inovasi dipertandingkan.

-BERNAMA

 


Pengarang :