PBTSELANGOR

Peralihan bil cukai kepada elektronik, MBPJ jimat RM800,000

SHAH ALAM, 4 DIS: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mampu menjimatkan kos operasi sebanyak RM800,000 setahun melalui peralihan serahan bil cukai taksiran secara fizikal kepada elektronik.

Datuk Bandar Dato’ Mohd Sayuthi Bakar berkata penggunaan aplikasi e-cukai@MBPJ memudahkan lebih 250,000 pemilik harta di kawasan pihak berkuasa tempatan itu.

Menurutnya, sepanjang Januari hingga Oktober tahun ini, MBPJ menerima sekurang-kurangnya 2,000 bil yang dikembalikan kerana tidak dapat diserahkan kepada pemilik harta.

“Pengembalian ini disebabkan alamat tidak lengkap dan menghadapi pelbagai masalah ketika penyerahan bil menggunakan alamat harta tanah kosong.

“(Justeru), kos operasi dapat dijimatkan jika tiada lagi penghantaran bil cukai secara fizikal yang diamalkan seperti sebelum ini,” katanya dalam perutusan Mesyuarat Majlis Bil.11/2020 pada 30 November.

Beliau berkata aplikasi memberikan perkhidmatan semakan bil cukai taksiran, pembayaran dan pertukaran alamat surat-menyurat boleh dimuat turun melalui Google Play Store dan Apple Store bermula penggal pertama tahun hadapan.

“Aplikasi ini menyediakan integrasi dengan epay@mbpj. Pemilik harta boleh membuat pembayaran bil cukai taksiran secara dalam talian dengan hanya menggunakan kad kredit, kad debit atau Pertukaran Proses Kewangan (FPX).

“Pengemaskinian pembayaran melalui aplikasi ecukai@mbpj adalah secara waktu sebenar dan mengurangkan pergerakan masyarakat berurusan di kaunter MBPJ,” katanya.

Tatacara penggunaan aplikasi boleh dirujuk di e-panduan laman yang boleh dimuat turun melalui laman sesawang www.mbpj.gov.my.


Pengarang :