AGENDANASIONAL

Perangsang Selangor cungkil bakat remaja melalui program berbasikal

PUTRAJAYA, 19 DIS: Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS) berhasrat mencungkil bakat muda negara dalam sukan berbasikal menerusi penganjuran KPS Junior Cycling Programme.

Pengarah Bersekutu, Perhubungan Pelabur & Komunikasi Strategik KPS Mohd Fauzi Mohd Ghazali berkata program tersebut menyasarkan remaja bawah umur 14 tahun dan ke bawah dengan proses pemilihan peserta dibuat pada Oktober lepas.

“Kita menerima penyertaan membabitkan seramai 25 kanak-kanak dan remaja dan daripada keseluruhan jumlah itu, 15 orang terpilih untuk menyertai program yang dilaksana selama lapan minggu,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata program tersebut yang juga merupakan antara aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat, dilaksanakan pada setiap Sabtu bermula 8 pagi hingga 12 tengah hari yang turut membabitkan sesi pembelajaran di dalam bilik darjah.

“Kita mahu para penunggang muda mengetahui asas berbasikal termasuk hal keselamatan di jalan raya yang menjadi perkara penting dalam aktiviti ini,” katanya.

Mohd Fauzi berkata KPS Junior Cycling Programme dikendali oleh Mohd Sabri Md Taib dari kelab berbasikal, Clever Speda, yang melibatkan jurulatih berpengalaman termasuk bekas atlet berbasikal Mohd Yafiz Jamaludin serta pelajar dari Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR).

“Sasaran kita daripada kumpulan pertama ini, sekurang-kurangnya dua orang daripada mereka dapat menyerlahkan bakat untuk dilatih ke program seterusnya bagi pemilihan atlet berbasikal mewakili negeri Selangor,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :