Petugas kesihatan memakai sut perlindungan diri (PPE) berada di dalam khemah pengambilan sampel bagi saringan Covid-19 kepada orang ramai ketika tinjauan di Klinik Kesihatan Membedai Labuan pada 6 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Perlu buktikan negatif Covid-19 sebelum masuk Labuan

LABUAN, 7 DIS: Semua individu masuk termasuk penjawat awam dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang masuk ke Labuan menerusi laluan udara atau laut perlu menjalani saringan Covid-19 di tempat asal, tiga hari sebelum tiba di pulau bebas cukai itu.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Labuan Nurzalizah Kartika Abdullah berkata mereka perlu mendapatkan keputusan negatif dan berdaftar dengan aplikasi MySejahtera di tempat berlepas dan ketibaan.

“Pematuhan tatacara operasi (SOP) bagi syarat kemasukan ke Labuan adalah berdasarkan analisis risiko oleh Jabatan Kesihatan Labuan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya kepada Bernama hari ini.

Menurutnya, mereka yang gagal menjalani saringan sebelum tiba di pintu masuk Labuan – Lapangan Terbang Labuan dan dua terminal feri – perlu menjalani calitan ujian Covid-19 dan akan dikenakan kuarantin sehingga keputusan dikeluarkan.

“Bagaimanapun, individu yang datang ke Labuan tidak perlu memohon permit daripada polis mulai hari ini memandangkan pelaksanaan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) masih diteruskan.

“Tetapi individu dengan sejarah perjalanan ke luar negara perlu mengemukakan perintah pelepasan oleh KKM dan diuji negatif Covid-19 sebelum dibenar masuk ke pulau itu,” katanya.

-BERNAMA

 


Pengarang :