BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Permohonan naik 46 peratus, lonjak potensi industri halal

SHAH ALAM, 5 DIS: Selangor mahu menjadi pemain utama industri halal berikutan permintaan terhadap produk itu meningkat saban tahun.

Mengikut Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), permohonan pensijilan halal meningkat pada kadar tinggi kebelakangan ini berbanding ketika industri itu muncul pada 55 tahun lalu.

“Pada 2018, kita terima 2,931 permohonan untuk pensijilan halal dan angka itu naik 46 peratus apabila 4,300 permohonan diterima pada 2019,” kata penolong pengarah kanan Bahagian Pengurusan Halal Jais dalam program wawancara di Facebook pada 28 November.

Ahmad Solihin Maryakon juga menjangka angka tersebut terus bertambah kepada 4,500 pada akhir tahun sekalipun banyak industri terjejas akibat wabak Covid-19.

Peningkatan itu didorong permintaaan dan kesedaran pengguna beragama Islam selain keperluan untuk kekal berdaya saing dalam industri.

Bahagian Pengurusan Halal Jais diwujudkan pada 1 Ogos 2015. Sebelum ini, ia hanya bergerak sebagai unit halal melalui tiga kategori pensijilan iaitu pengilangan makanan, premis makanan dan rumah sembelihan.

Daripada tiga, ia berkembang kepada lapan kategori iaitu produk kosmetik, barang gunaan, perkhidmatan logistik, perubatan dan pengilangan kontrak.

“Insya-Allah kita akan perkenalkan kategori baharu iaitu peranti perubatan tahun depan,” kata Ahmad Solihin lagi.

Meskipun segelintir pihak mempersoalkan kos memperoleh sijil halal ‘mahal’, bagaimanapun ia sebenarnya membabitkan permohonan dan analisis makmal.

“Tentunya setiap aktiviti berkaitan pengesahan melibatkan kos. Ia lebih kepada komitmen pada nilai sangat munasabah bukan untuk berniaga dengan ‘halal’,” katanya sambil menambah ia juga melibatkan analisis makmal dan khidmat jururunding.

Pandang remeh

Namun, kira-kira 10 peratus syarikat bumiputera-muslim ada pensijilan halal. Rendahnya jumlah itu lantaran ramai usahawan beragama Islam tidak mengaambil berat hal berkenaan.

Ironinya, presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) mendapati pemain industri bukan Islam lebih berpandangan jauh kerana mereka mahu meluaskan pasaran selain menarik keyakinan pelanggan tempatan dan luar negara.

“Daripada 6.4 trilion pasaran global, Malaysia hanya menyumbang 23.4 bilion untuk eksport halal. Hanya 30 peratus disumbangkan syarikat muslim. Jumlahnya kecil,” kata Mohammad Sahar Mat Din.

Dalam Belanjawan Selangor 2021, Selangor Halal Business Hub merupakan platform maklumat halal yang akan dibangunkan melalui Pelan Tindakan Halal Selangor bagi membantu usahawan negeri mendapatkan sijil halal untuk produk mereka.

Sebelum ini, EXCO Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata Jawatankuasa Strategik Industri Halal Selangor ditubuhkan untuk memacu negeri menjadi hab industri halal di Malaysia dan serantau.

Jawatankuasa itu dianggotai Majlis Agama Islam Selangor, Jais, Pemerbadanan Menteri Besar Selangor dan pakar bidang berkaitan halal.

Perbadanan Pembangunan Industri Halal turut menyasarkan eksport halal bernilai RM50 bilion pada 2020 walaupun dalam suasana ekonomi mencabar.

 


Pengarang :