Ahli parlimen menghadiri Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen pada 2 November 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Peruntukan KKM tangani Covid-19 dibangkit Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR, 3 DIS: Jumlah perbelanjaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menangani pandemik Covid-19 sejak 18 Mac hingga 31 Okt lepas, antara perkara yang akan dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, perkara itu terkandung dalam sesi soal jawab yang akan diajukan Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) kepada Menteri Kesihatan Datuk Seri Adham Baba berhubung perkara itu.

Natrah Ismail (PH-Sekijang) pula meminta menteri dalam negeri menjelaskan sama ada kerajaan berhasrat melaksanakan Cadangan Umum Jawatankuasa Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (Cedaw) No.34.

Ia bagi memastikan wanita mempunyai hak kewarganegaraan sama rata dengan golongan lelaki terutamanya hak berkaitan pemberian kewarganegaraan kepada anak yang dilahirkan di luar negara apabila berkahwin dengan lelaki bukan warganegara.

Pada sesi sama, M Kulasegaran (PH-Ipoh Barat) meminta menteri sumber manusia menyatakan sebab mengenai 81,217 orang pekerja masih hilang pekerjaan seperti yang dicatatkan pangkalan data Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) setakat 25 Sept lepas walaupun Program Subsidi Upah dan Program Pengekalan Pekerjaan telah dilaksanakan kerajaan.

Sementara itu, pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri, Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) meminta menteri dalam negeri menyatakan sama ada kementerian akan memberikan sedikit kelonggaran syarat permohonan lesen senjata api kepada pemilik tanaman yang ingin memiliki lesen bagi menguruskan musuh tanaman seperti babi dan monyet yang bertindak merosakkan tanaman.

Persidangan dewan kemudian diteruskan dengan perbahasan dan penggulungan bagi Rang Undang-undang Perbekalan 2021 peringkat Jawatankuasa melibatkan tiga lagi kementerian mengikut giliran seperti yang dijadualkan.

Mengikut jadual giliran kementerian, perbahasan hari ini akan tertumpu kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Semalam, menyaksikan peruntukan bagi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli dalam Belanjawan 2021 lulus di peringkat jawatankuasa dengan undian suara terbanyak.

Kelulusan itu menjadikan peruntukan bagi kementerian yang lulus di peringkat jawatankuasa setakat ini ialah lapan dengan lima daripadanya diluluskan mengikut undian suara terbanyak manakala tiga melalui proses undi belah bahagian.

Berdasarkan takwim Dewan Rakyat sesi perbahasan berkenaan akan berlanjutan selama 10 hari sehingga 15 Dis ini, sementara Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 akan berlangsung selama 29 hari sehingga 17 Dis.

-BERNAMA


Pengarang :