Pengusaha tanaman, Azimi Omar, 50 mengangkat baja ke atas lori selepas menerima bantuan baja kompos daripada Kerajaan Negeri di Sungai Burong, Tanjong Karang pada 6 Disember 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
SELANGOR

Petani sokong guna baja kompos, harap hasil meningkat

KUALA SELANGOR, 7 DIS: Golongan petani di negeri ini berharap penggunaan baja kompos dapat meningkatkan hasil pertanian.

Nor Zuriana Suniey, 49, berkata dia sebelum ini menggunakan jenis baja AB (baja kimia tetapi tidak beracun) untuk tanaman cili dan pisang.

“Baja kompos elok untuk tempoh jangka panjang terutama bagi mengekalkan kesuburan tanah. Selain itu Kerajaan Negeri perlu meneruskan bantuan baja bagi meringankan beban petani,” katanya ketika ditemui selepas menerima bantuan baja kompos yang disampaikan EXCO asas tani, Ir Izham Hashim.

Azimi Omar, 50, yang mengusahakan tanaman sayur pula menyambut baik inisiatif Kerajaan Negeri untuk meluaskan penggunaan baja kompos.

“Sejak berpuluh tahun lalu kebanyakan petani menggunakan baja kimia, jadi sudah tiba masanya kita beralih menggunakan baja kompos,” katanya.

Bagi Mohd Arifin Yahya, 51, golongan petani perlu menyokong saranan Kerajaan Negeri supaya menggunakan baja kompos.

“Kajian membuktikan penggunaan baja ini lebih menguntungkan berbanding kaedah lama menggunakan baja kimia,” katanya.

Sebelum ini Izham berkata baja kompos bakal digunakan secara meluas bagi meningkatkan hasil tanaman selain meningkatkan kesuburan tanah.


Pengarang :