AGENDANASIONAL

Petugas positif Covid-19, Prolintas buat sanitasi di plaza tol

KUALA LUMPUR, 15 DIS: Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) menjalankan kerja pembasmian kuman dan pembersihan di Pejabat Operasi Lebuhraya Kajang SILK (SILK) dan kesemua 16 plaza tolnya berikutan salah seorang kakitanganya disahkan positif Covid-19, semalam.

Prolintas dalam kenyataan hari ini memaklumkan kerja berkenaan dijalankan mengikut ketetapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Pasukan Respons Covid-19 dengan kerjasama KKM juga telah melaksanakan usaha pengesanan kontak rapat bagi kakitangan yang dijangkiti itu.

“Semua rakan sekerja yang berhubung secara langsung dengan pekerja terbabit turut diarahkan untuk menjalani kuarantin kendiri di rumah selama 14 hari dan menjalani ujian swab,” menurut kenyataan itu.

Pada masa sama Prolintas memberi jaminan tidak akan berlaku gangguan pada operasi tol dan semua pengguna lebuh raya dinasihatkan mematuhi semua perintah pergerakan dan garis panduan tatacara operasi piawai (SOP) daripada pihak berkuasa.

-BERNAMA


Pengarang :