ADN Dengkil Adhif Syan Abdullah
ADNBERITA UTAMASELANGOR

PKM Dengkil tutup 14 hari, wakil rakyat dan pemandu dijangkiti Covid-19

SHAH ALAM, 27 DIS: Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil ditutup dua minggu bermula hari ini susulan terdapat kes positif Covid-19 membabitkan wakil rakyat dan pemandu peribadinya.

Adhif Syan Abdullah berkata mereka berdua disahkan positif wabak hari ini selepas menjalani saringan apabila pemandu terbabit mengalami simptom demam.

“Alhamdulillah, ketika ini kami masih dalam keadaan stabil dan akan dibawa ke hospital oleh KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) untuk menjalani kuarantin serta rawatan.

“KKM dan pihak berkuasa lain sudah dimaklumkan manakala semua kontak rapat saya dikesan serta disaring mengikut SOP (tatacara operasi piawai) ditetapkan. Orang ramai dinasihatkan memberi kerjasama jika diminta pihak berkuasa,” katanya di Facebook malam tadi.

Beliau berkata sebagai langkah berjaga-jaga, operasi nyah cemar akan dijalankan di pusat khidmat berkenaan selain semua kakitangan diarah menjalani kuarantin kendiri di rumah selepas saringan.

“Dengan izin Allah SWT dan berkat doa tuan-tuan dan puan-puan, kami akan dapat mengharungi dugaan ini serta kembali untuk berkhidmat segera dengan lebih berdedikasi.

“Saya memohon maaf jika mendatangkan sebarang kesulitan dan akan memaklumkan perkembangan keadaan kesihatan saya serta pengoperasian PKM dari semasa ke semasa,” katanya.

Sebarang urusan, orang ramai boleh menghubungi pejabat PKM Dengkil melalui emel: [email protected].


Pengarang :