Ketua Pegawai Operasi PKNS, Suhaimi Kasdon (tengah) menunjukkan rumah contoh selepas sidang media kempen 48 Jam Mesti Beli Akhir Tahun PKNS di Bangunan Ibu Pejabat PKNS, Seksyen 14 Shah Alam pada 16 Disember 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

PKNS lancar kempen beli hartanah dalam talian hujung minggu ini

SHAH ALAM, 16 DIS: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melancarkan promosi 48 Jam Mesti Beli Akhir Tahun 2020 secara dalam talian bagi melonjakkan pembelian hartanah pada Sabtu dan Ahad ini.

Ketua pegawai operasinya, Suhaimi Kasdon berkata kempen secara maya kali kedua itu memfokuskan keuntungan lebih RM17 juta sepanjang tempoh berkenaan.

“Kita mempunyai lebihan 300 unit rumah ketika ini namun menerusi kempen kali ketujuh ini, kita sasar 27 unit rumah pelbagai jenis terjual.

“Semua berharga antara RM440,000 hingga RM900,000 membabitkan 20 projek termasuk perumahan baharu iaitu Puteri Aira, Kota Puteri; Saira, Pelabuhan Klang dan Residensi Aurora, Cuberjaya,” katanya ketika sidang media Ibu Pejabat PKNS hari ini.

Menurutnya, pembeli ditawarkan diskaun sehingga 20 peratus selain mendapat yuran guaman dan duti setem secara percuma.

“Pembeli juga layak menerima pakej hiasan dalaman dan dilengkapi kemudahan rumah pintar berjumlah RM15,000.

“Melalui kempen ini, pembeli hanya membayar wang pendahuluan serendah RM500 dan kita akan bantu mereka mendapatkan pinjaman bank,” katanya.

Sementara itu, Suhaimi berkata kempen yang diperkenalkan sejak November tahun lalu itu mencatatkan nilai jualan lebih RM58 juta melalui enam siri sebelum ini.


Pengarang :