Ketua Pegawai Eksekutif Pebadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Siti Zubaidah Abd Jabar ketika ditemui Bernama baru-baru ini. Foto: BERNAMA
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

PKNS optimis depani impak Covid-19, kekal daya saing

SHAH ALAM, 30 DIS: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) optimis untuk kekal berdaya saing mendepani impak pandemik Covid-19 dalam sektor hartanah dengan menumpukan kepada pelaksanaan Pelan Strategi Pemulihan yang dilancarkan tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Siti Zubaidah Abd Jabar berkata ekoran ‘kesuraman’ sektor hartanah sejak tiga tahun lepas ditambah dengan impak pandemik Covid-19, antara cabaran terbesar dihadapi dalam penjualan hartanah pada masa kini adalah kadar pembatalan tempahan yang tinggi berikutan syarat kelulusan ketat pinjaman.

Siti Zubaidah Abd Jabar (dua, kiri) melihat model rumah yang dipamerkan ketika pelancaran kempen promosi 48 Jam Mesti Beli@Antara Gapi Antara Gapi. Foto BERNAMA

Kesannya kata Siti Zubaidah adalah, PKNS mencatatkan simpanan stok hartanah yang tinggi iaitu sebanyak 1,297 unit bernilai RM1.1 bilion pada awal tahun ini menyebabkan berlaku kelembapan aliran masuk tunai bagi perbadanan itu.

Bagaimanapun, dengan pelbagai usaha agresif dilakukan PKNS termasuk konsep pemasaran secara digital, sebanyak 53 peratus daripada jumlah stok hartanah itu berjaya dijual namun bakinya dilihat masih tinggi.

“Keadaan semasa memberi kesan sangat hebat terhadap semua industri termasuk sektor hartanah yang dilihat mengalami penurunan jualan sehingga 19 peratus.

“Bagi mempersiapkan perbadanan ini, kami mengambil langkah melakukan kajian komprehensif terhadap Pelan Strategik 10 Tahun yang bermula tahun ini dengan menghasilkan Pelan Strategik Pemulihan sebagai langkah menangani cabaran yang dijangka dihadapi pada tahun depan dan seterusnya bagi memulihkan kedudukan kewangan serta perniagaan PKNS,” katanya kepada Bernama.

PKNS Ambil Langkah Tingkat Prestasi Kewangan

Justeru, menerusi pelan pemulihan itu, PKNS mengambil langkah meningkatkan prestasi kewangannya secara sistematik termasuk berkemungkinan mencairkan beberapa aset sedia ada bagi menampung aliran keluar tunai untuk menjana semula pendapatannya.

Ia merupakan usaha perbadanan itu untuk menurunkan kos operasi bagi mengurus risiko kewangan dengan lebih baik dan efisen.

“Seterusnya, PKNS akan memperkasa pulangan pelaburan dengan teliti demi menjamin pendapatan pada masa depan dengan memastikan setiap anak syarikat dan projek penswastaan memberi pulangan pendapatan yang tinggi.

“Perbadanan juga akan memanfaatkan peluang sinergi Kumpulan PKNS sebagai sumber nilai tambah yang akan dijayakan menerusi enam langkah iaitu kerjasama pintar, inisiatif bersasar, dasar dan polisi bersama, pemantauan berterusan di peringkat anak syarikat, pelan perniagaan lebih jelas serta pembangunan bakat di peringkat kumpulan,” katanya.

Bangunkan Rumah Mampu Milik

Selain itu kata Siti Zubaidah, PKNS juga akan memperkasa pembangunan rumah mampu milik dengan kerjasama rakan strategik melalui Pelawaan Sebut Harga atau Permintaan untuk Cadangan; melaksanakan pembangunan bersasar khas bagi golongan M40 dan perumahan penjawat awam selain menambah simpanan tanah termasuk tanah rizab Melayu.

Katanya, tawaran khidmat perunding pinjaman oleh PKNS serta kerjasama dengan pihak bank turut dilihat dapat membantu pembeli khususnya golongan B40 memiliki rumah kediaman yang pada masa sama akan mengurangkan jumlah stok hartanah dibangunkan perbadanan itu.

Mengulas lanjut, Siti Zubaidah berkata walaupun sektor hartanah dikatakan akan pulih dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi namun PKNS percaya, kaedah pendigitalan hasil impak norma baharu kini adalah praktis terbaik untuk terus meningkatkan tahap kecekapan perbadanan itu selain mampu mengurangkan kos operasi.

Perhebat Konsep Jual Dan Bina

Selain itu katanya, PKNS juga akan memperhebatkan konsep Jual dan Bina untuk menggalakkan peralihan kepada teknologi moden supaya proses reka bentuk serta pembinaan dapat dipercepatkan, yang pada masa sama dapat mengurangkan kos dan meningkatkan kualiti hartanahnya.

Katanya, walaupun berdepan pelbagai cabaran baharu ekoran impak pandemik Covid-19, namun beliau yakin perancangan jangka pendek itu mampu menjadi ramuan terbaik dalam memperkukuhkan semula kedudukan kewangan perbadanan tersebut bagi mencapai aspirasi Pelan Strategik 10 Tahunnya.

Mengulas mengenai simpanan tanah pula, Siti Zubaidah berkata PKNS menyasarkan kawasan di daerah Sepang dan Hulu Selangor sebagai lokasi pembangunan baharunya.

“Fokus kami buat masa ini adalah di Sepang memandangkan rangka kerja ‘Selangor Business Capital’ sebagai hub perniagaan antarabangsa akan dibangunkan di situ.

“Ia dilihat sebagai potensi yang baik untuk PKNS membangunkan penempatan dan infrastruktur di Sepang bagi melengkapi rangka kerja berkenaan untuk menjadi tarikan pelabur dalam dan luar negara,” katanya.

Tekad Bangunkan Usahawan Tempatan Depani Covid-19

Dalam pada itu kata Siti Zubaidah, selain memperkasakan sektor hartanah, PKNS juga komited membantu usahawan tempatan mendepani impak Covid-19 dengan penganjuran Bazaar Lokal sebagai platform untuk merancakkan semula perniagaan golongan berkenaan.

Katanya, bazar secara dalam talian itu buat pertama kalinya diwujudkan oleh anak syarikat PKNS iaitu PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) bagi membuka peluang kepada orang ramai berbelanja di pusat membeli-belah milik PREC.

PREC juga turut menyediakan servis sokongan, bimbingan dan informasi kepada peniaga yang kurang pengetahuan dan kemahiran bagi perniagaan secara dalam talian sebelum berdaftar dengan Bazaar Lokal.

Tambah beliau, sebuah lagi anak syarikat PKNS, Selangor Industrial Corporation (SIC) juga turut melancarkan portal SELDEC bagi mewujudkan ekosistem perniagaan yang lengkap termasuk membolehkan orang ramai mendapatkan barangan segar secara terus dari luar bandar.

“SELDEC juga bekerjasama dengan Koperasi Hijrah dalam usaha untuk membantu peniaga mengembangkan perniagaan mereka menerusi fasiliti bantuan kewangan mencecah sehingga RM50,000 tanpa sebarang caj pendaftaran kepada usahawan yang berdaftar di portal mereka,” katanya.

– BERNAMA

 


Pengarang :