Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad bercakap kepada media ketika ditemui pada Majlis Mesra Media Jais di Shah Alam Convention Centre pada 21 September 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

PKPB: Jais lulus hampir 3,000 pasangan bernikah hingga Disember

SHAH ALAM, 3 DIS: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) meluluskan 2,938 permohonan kebenaran bernikah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 30 November sehingga 31 Disember tahun ini.

Pengarahnya berkata permohonan tertinggi diterima dari daerah Petaling iaitu 659 diikuti Hulu Langat (541), Gombak (417) dan Klang (398).

“Sebanyak 283 permohonan pula diperoleh dari Sepang, Kuala Langat (190), Hulu Selangor (185), Kuala Selangor (135) serta Sabak Bernam (130),” kata Mohd Shahzihan Ahmad kepada SelangorKini.

Sebelum ini, Jais mengeluarkan 3,197 kebenaran berkahwin dari 14 Oktober sehingga 11 November lalu dengan lima akad nikah dibenarkan dalam satu hari pada Isnin hingga Jumaat.

Bagaimanapun, jabatan itu mula membenarkan 20 majlis akad nikah dilangsungkan di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) seluruh negeri ini sejak pertengahan November mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ketat.

Upacara dalam dua sesi iaitu pagi dan petang dibenarkan dengan kehadiran tiga orang melibatkan pengantin lelaki, pengantin perempuan serta wali.

Kebenaran itu tertakluk kepada pasangan dalam Selangor dan pihak lelaki atau perempuan dari luar Selangor yang mendapat kebenaran rentas daerah atau negeri.


Pengarang :