Pengarah Urusan Top Glove Dato’ Lee Kim Meow (tengah) memberi taklimat kepada pegawai yang menyertai operasi penutupan kilang Top Glove di Jalan Teratai, Klang pada 25 November 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PKPD Asrama Top Glove tamat hari ini – menteri

SHAH ALAM, 14 DIS: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Asrama Top Glove, Klang yang bermula 17 November lalu kemudian dilanjutkan sehingga 14 Disember ditamatkan hari ini.

Datuk Seri Ismail Sabri berkata setelah 28 hari pelaksanaan PKPD di kawasan itu, Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati terdapat trend penurunan kes positif dilaporkan dan tiada lagi sampel saringan menunggu keputusan.

“Semua kes negatif juga menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Di Rumah (HSO) selama dua kali tempoh inkubasi Covid-19.

“Atas nasihat dan penilaian risiko KKM, sidang khas hari ini bersetuju menamatkan PKPD di Asrama Top Glove, Klang yang melibatkan asrama lelaki di Jalan Abadi 1A/KU8, asrama wanita di Jalan Abadi 1A/KU8 dan Jalan Abadi 10A/KU8 pada 14 Disember,” kata menteri kanan (kluster keselamatan) dalam kenyataan media.

Beliau berkata KKM melaksanakan 5,805 saringan dan jumlah kumulatif kes positif adalah 4,305 kes.

“Sehingga kini, daripada 28 kilang ditutup, 14 kilang dibenarkan beroperasi semula selepas semua pekerja disaring dan kilang disanitasi, manakala baki 14 kilang lagi dibuka secara berperingkat.

“Pihak pengurusan Top Glove juga diarahkan mematuhi arahan berkaitan pengurusan wabak Covid-19 dalam kalangan pekerja selepas penamatan PKPD ini,” katanya.

 


Pengarang :