Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kementerian Pertahanan pada 22 Disember 2020. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

PKPD di Flat Desa Bistari, Pulau Pinang ditamatkan awal

KUALA LUMPUR, 26 DIS: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Flat Desa Bistari, Batu Uban di Mukim 13, Daerah Timur Laut Pulau Pinang ditamatkan hari ini, lebih awal daripada yang dijadualkan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan sebelum ini telah melanjutkan PKPD di lokaliti itu daripada 20 Dis sehingga 31 Dis ini.

“Sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah selesai melaksanakan saringan ke atas semua penduduk di lokaliti ini dan tiada lagi sampel menunggu keputusan. Baki kes positif Covid-19 di lokaliti ini juga terkawal dan menunjukkan trend penurunan.

“Sehubungan itu atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di Flat Desa Bistari, hari ini,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Pemulihan (PKPP) hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak 1,002 individu ditahan kerana ingkar arahan PKP semalam, dengan 854 dikompaun manakala 148 direman.

Menurutnya, kesalahan tertinggi dicatatkan adalah aktiviti pusat hiburan sebanyak 687 kes, diikuti gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (125), tidak memakai pelitup muka (69), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (63) dan lain-lain (58).

Mengenai Operasi Benteng, Ismail Sabri berkata seramai 35 pendatang asing ditahan serta tiga buah kenderaan dirampas semalam.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” tambahnya.

Sementara itu, beliau berkata sejak 24 Julai hingga semalam, sebanyak 92,607 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua mereka ditempatkan di 76 hotel serta 17 Institut Latihan Awam (ILA) dan institut pengajian swasta di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, seramai 7,206 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 536 individu dihantar ke hospital untuk rawatan dan 84,865 individu dibenarkan pulang, katanya.

– BERNAMA


Pengarang :