Reaksi seorang pekerja warga asing yang berada di luar rumah susulan pelaksanaan PKPD bermula pada 17 November 2020 di Jalan Abadi 1A Meru Klang. Foto BERNAMA
ADNBERITA UTAMASELANGOR

PKPD tamat, wakil rakyat Meru tumpu selesai isu kebersihan

SHAH ALAM, 16 DIS: Isu kebersihan dan keselamatan penduduk berhampiran asrama pekerja kilang Top Glove di Meru, Klang antara tumpuan wakil rakyat kawasan itu.

Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata penduduk juga bimbang terhadap lambakan peniaga asing di kawasan sekitar yang diibaratkan seperti Dhaka di Bangladesh.

“Saya yakin jika kawasan tersebut bersih dan peniaga haram dihapuskan, keselesaan penduduk akan lebih terjamin. Saya akan berusaha memenuhi permintaan mereka,” kata wakil rakyat Meru ketika dihubungi.

Sementara itu, beliau memaklumkan pengurusan syarikat pengeluar sarung tangan getah terbabit bersetuju memindahkan pekerja secara berperingkat ke asrama baharu di Meru dan Sepang.

“Kita juga minta mereka lebih sensitif berhubung pengurusan sampah termasuk bertanggungjawab atas kerugian ditanggung penduduk kesan pelaksanaan perintah kawalan,” kata Mohd Fakhrulrazi.

Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di asrama Top Glove bermula 17 November ditamatkan kelmarin selepas mendapat nasihat dan penilaian Kementerian Kesihatan Malaysia.


Pengarang :