Aliran trafik lancar di kedua-dua arah Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) selepas kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri dan daerah di seluruh negara kecuali kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan ketika tinjauan pada 12 Disember 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PLUS sedia 221 pasukan ronda hadapi Krismas, tahun baharu

KUALA LUMPUR, 23 DIS: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan Senai-Desaru Expressway (E22) menyediakan seramai 221 pasukan rondaan di Lebuhraya Utara-Selatan dan E22 sebagai persediaan menghadapi Krismas dan tahun baharu.

Pengarah Urusan PLUS Datuk Azman Ismail berkata pasukan itu, yang terdiri daripada 548 pegawai PLUSRonda dan Pasukan Keselamatan E22, akan melakukan rondaan secara berterusan di kedua-dua lebuh raya.

“Kehadiran mereka adalah untuk menjaga perjalanan orang ramai yang akan bercuti menyambut Krismas dan Tahun Baharu serta memberikan bantuan kepada pelanggan pada bila-bila masa.

“Lebuhraya Utara-Selatan dan E22 menyediakan perjalanan lebih pantas dan lebih selesa ke Desaru menerusi Persimpangan Senai Utara yang mengambil masa kurang daripada 1 jam,” menurutnya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata di E22, pengguna lebuh raya memerlukan masa kira-kira 45 minit untuk sampai ke Persimpangan Bandar Penawar dengan jarak perjalanan 70 kilometer.

Azman berkata pengguna terbabit boleh meneruskan perjalanan ke Desaru melalui Jalan Persekutuan FT92 dengan jarak kira-kira 10 kilometer menerusi E22 dari Persimpangan Senai Utara PLUS.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Senai-Desaru Expressway Berhad (SDEB) Jamal Abd Nasir Taharim berkata kawasan Rehat dan Rawat (R&R) yang disediakan di kedua-dua lebuh raya dapat membantu pengguna menikmati perjalanan selesa.

“R&R PLUS yang berada di Seremban, Ayer Keroh, Pagoh dan Machap serta R&R E22 di R&R Layang menyediakan pelbagai jenis kemudahan untuk kegunaan pengguna lebuh raya,” menurutnya dalam kenyataan sama.

PLUS dan E22 juga menasihati orang ramai yang ingin melakukan perjalanan untuk bercuti pada hujung tahun ini supaya sentiasa mematuhi semua peraturan jalan raya yang ditetapkan serta menyediakan kemudahan pembayaran seperti Touch ‘n Go dan e-Dompet dengan jumlah wang yang mencukupi.

– BERNAMA


Pengarang :