Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika berangkat pulang selepas menghadiri majlis sambutan Hari Kebangsaan 2020 bertemakan ‘Malaysia Prihatin’ di Dewan Serbaguna Dataran Pahlawan Negara pada 31 Ogos 2020. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

PM: Agong isytihar darurat di Parlimen Gerik, DUN Bugaya

KUALA LUMPUR, 16 DIS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mengisytiharkan Proklamasi Darurat di Parlimen Gerik, Perak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah, sekali gus membatalkan dan menangguhkan pilihan raya kecil (PRK) dua kerusi berkenaan.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Seri Paduka bertitah demikian selepas memperhalusi penjelasan beliau yang menyembah maklum nasihat jemaah menteri berhubung perkara itu.

“Seri Paduka Baginda telah berkenan untuk mengisytiharkan darurat bagi kedua-dua PRK tersebut setelah berpuas hati bahawa adanya keperluan pengisytiharan Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

“Ia bagi memasyhurkan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(No.2) 2020 Sn Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.3) 2020 di bawah Fasal (2B) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan PRK Gerik dan Bugaya yang dijadualkan 16 Jan 2021 dibatalkan dan ditangguhkan ke suatu tarikh akan ditentukan kelak.

“Saya bagi pihak jemaah menteri menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Seri Paduka Baginda atas perkenan untuk mengisytiharkan darurat bagi kedua-dua bahagian pilihan raya berkenaan,” kata Muhyiddin dalam kenyataan.

Muhyiddin berkata jemaah menteri pada 4 Dis lalu membincangkan secara terperinci akan kesan PRK Gerik dan Bugaya jika diadakan pada masa pandemik Covid-19 masih menular di negara ini.

Perdana menteri berkata mengambil iktibar penularan Covid-19 susulan Pilihan Raya Negeri Sabah pada September lepas, jemaah menteri berpandangan kedua-dua PRK itu perlu dielakkan atas faktor ancaman kesihatan awam, ancaman ke atas kehidupan ekonomi dan ancaman ketenteraman awam.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan kedua-dua PRK itu diadakan serentak pada 16 Jan depan susulan kematian wakil rakyat kedua-dua kawasan tersebut.

Ahli Parlimen Gerik Datuk Hasbullah Osman meninggal dunia pada 16 Nov lalu di Raub, Pahang akibat serangan jantung, sementara, ADN Bugaya Manis Muka Mohd Darah pula meninggal dunia keesokan harinya (17 Nov) kerana komplikasi penyakit buah pinggang.

-BERNAMA


Pengarang :