AGENDANASIONAL

PNB tumpu strategi jangka panjang, pelbagai portfolio pelaburan

KUALA LUMPUR, 23 DIS: Permodalan Nasional Bhd (PNB) akan terus memberi tumpuan terhadap strategi pelaburan jangka panjang dan tidak akan membiarkan ketidaktentuan jangka pendek menjejaskan usaha terbabit, kata Pengerusi kumpulannya, Tan Sri Dr Zeti Aziz.

Beliau berkata strategi itu akan berdasarkan penilaian asas-asas dan pada masa sama akan kekal berhati-hati dalam mengemudi cabaran bagi tempoh jangka pendek hingga pertengahan demi menjana pendapatan mampan untuk para pemegang unit-unit amanahnya.

“Ini penting kerana kita perlu menumpukan (strategi) jangka panjang bagi mendapatkan pulangan mampan pada masa-masa akan datang. Kita tidak mahu mencatat kejayaan dalam satu tahun dan sebaliknya merekodkan prestasi buruk pada tahun berikutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media secara maya selepas mengumumkan agihan pendapatan Amanah Saham Bumiputera (ASB) sebanyak 4.25 sen bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 di sini hari ini.

Jumlah itu adalah yang terendah sejak ASB dilancarkan pada 1990 yang menyaksikan pengurus dana terbesar negara itu mengumumkan pulangan sebanyak 14.0 sen bagi tahun tersebut.

Pada tahun lepas, ASB mengumumkan dividen sebanyak 5.5 sen seunit.

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada PNB akan mengekalkan pembayaran dividen yang tinggi pada masa depan, Zeti berkata sepertimana institusi pengurusan aset dan firma pelaburan lainnya, prestasi ASB dan dana-dana unit amanah lain di bawah kendaliannya akan turut terjejas dengan perkembangan ekonomi domestik dan global selain impak dialami pasaran kewangan dan aset lain.

“Oleh itu, seiring dengan peningkatan unjuran terhadap ekonomi global dan domestik susulan perkembangan penghantaran vaksin COVID-19, kebanyakan ekonomi dijangka membenarkan pembukaan semula ekonomi dan perdagangan global secara beransur-ansur.

“Perkembangan positif ini turut dipaparkan dalam peningkatan prestasi dan indeks ekuiti tempatan serta pasaran aset lain,” katanya.

Bagaimanapun, pada masa sama, Zeti mengingatkan bahawa isu-isu dan risiko membabitkan perkembangan positif akan menyaksikan peralihan struktur dalam ekonomi global bagi tempoh pasca pandemik Covid-19.

“Masih terdapat isu-isu geopolitik yang belum selesai yang akan menyebabkan ketidaktentuan, khususnya dalam pasaran kewangan.

“Berikutan itu, seiring dengan jangkaan bahawa bank-bank pusat di serata dunia mengekalkan kadar faedah pada paras rendah, ini akan menyebabkan persekitaran dengan hasil pulangan yang rendah…inilah persekitaran yang kita hadapi,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, bekas Gabenor Bank Negara Malaysia itu berkata 2020 merupakan tahun penuh mencabar dengan pandemik Covid-19 meragut nyawa, memberi impak serius terhadap aktiviti ekonomi dan menyebabkan ketidaktentuan ketara terhadap pasaran kewangan di serata dunia.

“Walaupun dalam persekitaran mencabar ini, PNB telah dapat memberikan agihan pendapatan yang kompetitif bagi pemegang unit-unitnya,” katanya.

Zeti juga menegaskan bahawa PNB kekal optimis terhadap masa depan dan institusi pengurusan dana itu akan terus melaksanakan usaha pempelbagaian selanjutnya bagi mengelak tumpuan berlebihan terhadap risiko selain meninjau pelaburan dalam industri baharu yang pesat berkembang serta memperkukuh kemampuan pengurusan risikonya bagi kemajuan masa depan.

“Kita akan terus berusaha sedaya upaya untuk mengemudi masa-masa sukar ini bagi memastikan dapat memberi pulangan mampan untuk para pemegang unit.

“Selain itu, kita akan meneruskan usaha bagi mempelbagaikan portfolio pelaburan agar dapat mewujudkan portfolio yang mampu mengharungi semua keadaan dengan campuran optimum kelas-kelas aset dan geografi,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :