Selangorkini
Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador ketika ditemui selepas Mesyuarat Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di Langkawi pada 29 Disember 2020. Foto BERNAMA
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Polis jamin bantu siasat dalang kartel daging import

LANGKAWI, 29 DIS: Polis beri jaminan untuk turut membantu siasatan kes kartel daging import, walaupun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) adalah agensi paling relevan dalam isu itu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya juga sudah membuka beberapa kertas siasatan berhubung isu itu berdasarkan laporan daripada beberapa individu dan badan-badan bukan kerajaan (NGO).

“Isu ini berkaitan perihal dagangan, jadi paling relevan untuk menyiasatnya adalah KPDNHEP, tapi dalam pada itu polis tetap jalankan siasatan daripada laporan yang mendakwa wujud kartel yang melakukan penyelewengan, dalam isu daging import.

“Saya melihat daripada sudut jika terbukti kegiatan ini benar (berlaku), dan timbulkan kegusaran kepada orang ramai, saya (polis) akan ambil tindakan undang-undang,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di sini, hari ini.

Beliau berkata bagaimanapun setakat ini masih belum ada sebarang penahanan dibuat oleh pihaknya, berhubung kes itu.

Isu kartel daging import seludup yang diragui status halal, kini menjadi hangat setelah media berjaya membongkar kes itu baru-baru ini, sekali gus mencetuskan kegusaran orang ramai.

– BERNAMA

 


Pengarang :