AGENSISELANGOR

Polis Kuala Selangor rampas rokok tidak bercukai RM203,700

SHAH ALAM, 25 DIS: Polis Kuala Selangor berjaya merampas 3,395 karton rokok tidak bercukai pelbagai jenama bernilai kira-kira RM203,700 dalam dua tangkapan berlainan di sekitar daerah itu semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Supt Ramli Kasa dalam kenyataan hari ini berkata pihaknya sekitar 2 petang semalam, telah menahan dua lelaki tempatan di dalam sebuah van di jalan besar berhadapan Masjid Jamek Sultan Ibrahim di sini.

“Kedua-dua suspek berusia 30-an dan 40-an itu merupakan pemandu serta penumpang van tersebut dan hasil pemeriksaan polis menemukan 945 karton rokok tidak bercukai pelbagai jenama di dalam kenderaan itu.

“Soal siasat terhadap mereka ketika pemeriksaan van itu telah membawa kepada penemuan 2,450 karton rokok yang disimpan di sebuah rumah milik salah seorang suspek di Kampung Pasir Tuntong, Bukit Rotan, dekat sini pada hari yang sama,” katanya.

Ramli berkata pemeriksaan awal pihaknya mendapati kesemua rokok yang dirampas disyaki tidak bercukai dan kes berkenaan kini disiasat di bawah Akta Kastam 1967.

“Kedua-dua suspek juga telah dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Selangor dan mereka direman bermula hari ini sehingga Ahad depan.

-BERNAMA

 


Pengarang :