Anggota Polis Pelancong dari Balai Polis Masjid India, Sarjan Mejar Abd Manab Baki (tengah) memberi nasihat dan penerangan kepada orang awam supaya tidak bersiar-siar tanpa tujuan penting ketika membuat rondaan di sekitar jalan Masjid India pada 20 Mac 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Polis tahan 231 individu ingkar arahan PKP – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 30 DIS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 231 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata daripada jumlah itu, seramai 225 telah dikompaun manakala enam lagi direman.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (80), tidak memakai pelitup muka (71), aktiviti pusat hiburan (63), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (13) dan lain-lain (4),” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata bagi Op Benteng, sejumlah 29 lagi imigran berjaya ditahan dan 10 kenderaan darat dirampas manakala 110 sekatan jalan raya dilakukan semalam.

Katanya sebanyak 23 operasi sanitasi awam dilaksanakan semalam yang meliputi 25 zon di 10 negeri.

Ketika memperincikan barangan keperluan asas, Ismail Sabri berkata penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) semalam telah melakukan 640 pemantauan harian ke atas 11 jenis bekalan barangan termasuk peruncit (458), pemborong (150) dan pengilang (32).

“Secara keseluruhan, bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperoleh.

“Pegawai penguatkuasa KPDNHEP juga telah melakukan 534 pemeriksaan khas Pematuhan SOP PKP Pemulihan (PKPP) dan mendapati kesemua premis telah mematuhi SOP yang telah ditetapkan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :