Penduduk kawasan Meru datang seawal jam 9 pagi untuk menyertai program saringan percuma. Foto: SELangkah
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Portal Saringan Komuniti SELangkah dilancar, perkemas kesan kontak

SHAH ALAM, 10 DIS: Portal Saringan Komuniti SELangkah dilancarkan bagi memperkemas lagi proses pengesanan kontak dan saringan pantas Covid-19 sekali gus menjadi penyelesaian digital bersepadu pertama di Malaysia.

Pengerusi SELangkah Ventures Sdn Bhd Dr Muaz Omar berkata portal itu menawarkan integrasi perantaraan sistem bagi pengesanan kontak, ujian saringan pantas, diagnosis, laporan serta pemantauan yang sebelum ini masih belum disepadukan.

“Proses integrasi terbabit amat penting dalam usaha mengurangkan lambakan ujian khususnya apabila berlaku peningkatan kes mendadak di dalam sesebuah komuniti.

“Penyelesaian teknologi baharu ini memastikan semua individu berisiko yang sudah dijejaki boleh disaring dan diuji dengan pantas sekali gus membantu melancarkan proses saringan yang sebelum ini perlu dilakukan petugas barisan hadapan dengan sut perlindungan diri,” katanya.

Portal itu dilancarkan pada 2 Disember lalu menerusi program ujian saringan anjuran Kerajaan Negeri yang disasar kepada penduduk di beberapa kawasan perumahan sekitar Meru, Klang.

Portal itu mendapat sambutan apabila ketua kampung dan wakil rakyat menghebahkan dan masyarakat menyambut baik dengan melakukan pra-pendaftaran sehari sebelum pelancaran seperti disaran melalui portal terbabit iaitu https://screening.selangkah.my .

Ujian saringan dijalankan dengan teratur dengan adanya bantuan daripada pelbagai pihak. Foto: SELangkah

Melalui penggunaan penyelesaian digital baharu itu, 44.2 peratus daripada populasi sasaran berjaya disaring dalam masa lima jam dengan keputusannya pula boleh disemak dalam tempoh 24 jam selepas saringan dilakukan.

Bagi memastikan keseragaman penyampaian laporan, keputusan ujian dikongsi secara terus dengan Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi portal berpusat Sistem Informasi Makmal Kesihatan Awam.

Orang ramai disaran mendaftar dengan SELangkah untuk menerima notifikasi mengenai program saringan percuma anjuran Kerajaan Negeri yang akan dijalankan berhampiran kawasan masing-masing dari semasa ke semasa.

Untuk maklumat lanjut mengenai SELangkah, layari www.selangkah.my atau ikuti akaun media sosial rasmi di Facebook (https://www.facebook.com/mySElangkah) dan Twitter (https://twitter.com/selangkah_cvd19).


Pengarang :