Orang ramai memakai pelitup muka dan mematuhi penjarakan sosial ketika menaiki tren Transit Aliran Ringan (LRT) selepas kerajaan membenarkan beberapa sektor ekonomi beroperasi berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat ketika tinjauan pada 6 Mei 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Prasarana tawar pakej My30 beli satu percuma satu mulai esok

KUALA LUMPUR, 20 DIS: Dalam usaha menggalakkan pelancongan domestik, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) membuka tawaran istimewa pakej ‘My30 Plus 30 – Beli 1, Percuma 1’ bagi pembelian pas perjalanan tanpa had My30 bermula esok sehingga 31 Mac depan.

Prasarana dalam kenyataan hari ini memaklumkan pengguna perkhidmatan tren dan bas Rapid KL boleh menggunakan pakej percuma itu untuk pembaharuan pada bulan berikutnya dan tempoh penebusan adalah antara 15 Januari dan 31 Mac.

Pengguna boleh membuat pembelian My30 itu di semua kaunter khidmat pelanggan di stesen LRT, MRT, monorel dan bas transit pantas (BRT) di samping lapan hab bas terpilih iaitu di Pasar Seni, KLCC, Seksyen 2 Shah Alam, Greenwood, Sri Nilam, Sunway Pyramid, Pearl Point dan Puchong Utama.

“Urusan penebusan bagi kempen ini bagaimanapun hanya boleh dibuat di dua lokasi iaitu di Sayap Timur stesen KL Sentral dan di Hab Bas Pasar Seni,” menurut kenyataan itu.

Bagi mempromosi kempen itu, Prasarana akan menggunakan paparan skrin dalam tren LRT, MRT, monorel dan juga bas, di samping platform pengiklanan lain di stesen dan media sosial kendalian Rapid KL.

Pakej khas itu merupakan antara inisiatif diumumkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri pada 23 November lepas sebagai pelan pemulihan pelancongan domestik, diterajui oleh Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia).

Pas perjalanan tanpa had My30 membolehkan warga Malaysia menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam rel dan bas Rapid KL berulang kali tanpa had untuk 30 hari dengan hanya berbelanja RM30.

-BERNAMA


Pengarang :