Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang, Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor ketika ditemui media selepas operasi bersepadu pembangunan tanpa kebenaran di Batu 17, Rawang pada 10 Disember 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Premis diroboh MPS disewakan RM2,000 sebulan

RAWANG, 10 DIS: Pemilik asal stor barang lusuh dan kilang pembuatan pintu di Batu 17 yang dirobohkan hari ini dipercayai menyewakan premis itu pada kadar RM2,000 sebulan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor berkata pemilik mendirikan struktur dan beroperasi tanpa kebenaran atas rizab Sungai Rawang sejak 20 tahun lalu.

“Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Gombak sudah beberapa kali mengeluarkan notis Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 untuk mengosongkan kawasan tersebut namun mereka masih enggan berbuat demikian sehingga memaksa tindakan penguatkuasaan dibuat.

“Pemilik premis memberi kerjasama baik dan tidak mencetuskan sebarang provokasi sepanjang operasi berjalan,” katanya ketika ditemui selepas meninjau perobohan kedua-dua premis hari ini.

Operasi bersepadu bermula kira-kira 10 pagi diketuai PTD Gombak dan dibantu MPS, polis, Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Jengkaut merobohkan stor barang lusuh dan kilang pembuatan pintu yang beroperasi secara haram di Batu 17, Rawang ketika operasi bersepadu pembangunan tanpa kebenaran oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Gombak pada 10 Disember 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Shamsul Shahril juga menggesa pengusaha kilang yang berhasrat membuka penempatan supaya mematuhi peraturan dengan menyemak status tanah dan mendapatkan kebenaran merancang pembangunan.

“Mereka (pengusaha) perlu semak daripada segi syarat nyata tanah sama ada (tanah) untuk kegunaan kediaman, industri atau tanah kerajaan termasuk pengezonan meliputi perumahan dan kedai.

“Kita mengharapkan kepada sesiapa sahaja yang mahu buka kilang untuk merujuk kepada PTD dan MPS dengan bayaran semakan pelan hanya RM20,” katanya.


Pengarang :