AGENDANASIONAL

Prof Diraja Ungku Abdul Aziz meninggal dunia

KUALA LUMPUR, 15 DIS: Tokoh akademik Prof Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid, 98, meninggal dunia di sini, kira-kira 4 petang tadi.

Jurucakap Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) berkata perkara itu disahkan isterinya yang juga bekas Naib Yang Dipertua Angkasa Rahaiah Baheran.

“Dukacita dimaklumkan, saya telah mendapat maklumat daripada isterinya iaitu bekas Naib Yang Dipertua Angkasa Rahaiah Baheran bahawa Prof Diraja Ungku Abdul Aziz telah menghembuskan nafas terakhir kira-kira 4 petang tadi.

“Marilah kita bersama-sama membacakan surah al-Fatihah agar rohnya dicucuri rahmat,” kata jurucakap itu ketika dihubungi Bernama.

Allahyarham Ungku Abdul Aziz yang dilahirkan di London, United Kingdom pada 28 Jan 1922 adalah bapa kepada bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar yang kini merupakan Pengerusi Permodalan Nasional Berhad.

Prof Ungku Abdul Aziz merupakan seorang tokoh disegani terutamanya dalam bidang pendidikan, selain menjadi tokoh penting di sebalik penubuhan Tabung Haji dan Angkasa

Allahyarham juga merupakan ahli ekonomi dan pernah dianugerahi gelaran ‘Profesor Diraja Ekonomi’ pada 17 Jun 1978 serta Tokoh Koperasi Negara pada Julai 2002, selain Hadiah Budaya Asia Fukuoka IV pada 1993 .

-BERNAMA


Pengarang :