Seorang peserta melintasi poster Jelajah Selangor Bekerja 2020 di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 6 Disember 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Program buka ruang graduan peroleh kerja lebih baik, menarik

SHAH ALAM, 7 DIS: Jelajah Selangor Bekerja 2020 dianggap sebagai lubuk untuk graduan mencari pekerjaan dengan jawatan lebih baik dan menarik.

Nur Syafiqah Abdul Rajah, 25, di temuramah SelangorKini ketika Jelajah Selangor Bekerja 2020 di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah , Shah Alam pada 6 Disember 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Graduan jurusan akauntan Universiti Selangor (Unisel) Nur Syafiqah Abdul Rajah berkata program dua hari itu menarik kerana menawarkan pelbagai jawatan kepada mereka yang memerlukan.

“Saya baru tamat pengajian pada Mac lalu dan diterima bekerja pada Ogos lalu tetapi bukan dalam bidang akauntan, disebabkan pandemik Covid-19 saya tidak boleh memilih.

 

“Tetapi menerusi program ini, mereka tawarkan jawatan yang saya cari dan ia boleh dianggap ruang bagi mendapatkan kerja lebih baik,” katanya ketika ditemui pada Jelajah Selangor Bekerja 2020 di Dewan Jubli Perak, Bangunan Pejabat SUK di sini hari ini.

Muhammad Faiz Dasuki, 25, ditemuramah SelangorKini ketika Jelajah Selangor Bekerja 2020 di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah , Shah Alam pada 6 Disember 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Sementara itu graduan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau Perlis, Muhammad Faiz Dasuki berkata dia turut mahu mencungkil potensi diri dan cuba mendapatkan peluang kerja yang bersesuaian.

“Bukan tidak puas hati dengan kerja sedia ada tetapi saya sengaja mencuba nasib. Sebagai anak muda yang baru menamatkan pengajian memang tidak patut memilih kerja namun jika ada yang lebih baik seperti ditawarkan, kita kena ambil cepat-cepat,” katanya yang ketika ini bertugas sebagai juruteknik.

Perkara tersebut turut diakui M Suntharammah, 25, yang sudah lima tahun bekerja dalam bidang logistik dan mendaftar dalam program tersebut apabila Kerajaan Selangor menganjurkannya disebabkan syarikatnya berdepan keadaan tidak menentu susulan penularan Covid-19.

M Suntharammah, 25, ditemuramah SelangorKini ketika Jelajah Selangor Bekerja 2020 di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah , Shah Alam pada 6 Disember 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Saya amat berharap supaya program ini dapat diadakan lebih kerap kerana ramai yang terjejas akibat pandemik ketika ini,” katanya.

Program Jelajah Selangor 2020 menutup tirai di Shah Alam hari ini setelah bermula di Kuala Selangor pada 15 November diikuti Gombak (21 November), Paya Jaras (22 November) dan Hulu Langat (29 November).

Secara keseluruhannya 18,267 kekosongan jawatan ditawarkan sepanjang lima siri jelajah melibatkan 105 majikan daripada sektor perkilangan, perkhidmatan dan profesional.

Kini seramai 42 individu telah diterima bekerja dalam tempoh kurang sebulan dan 145 lagi akan dipanggil untuk sesi temu duga kali kedua.


Pengarang :