Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan (tengah) menyerahkan cek cura sumbangan skuad PTPTN kepada Pertubuhan Kebajikan Dana Kita bertempat di Menara PTPTN pada 8 Disember 2020. Foto Facebook PTPTN
AGENDANASIONAL

PTPTN sumbang RM1 juta kepada keluarga asnaf terjejas Covid-19

KUALA LUMPUR, 8 DIS: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini memberi sumbangan sebanyak RM1 juta bagi membantu 5,000 keluarga asnaf di Kuala Lumpur yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19.

PTPTN dalam kenyataan, berkata sumbangan zakat perniagaan itu disalurkan melalui Pertubuhan Kebajikan Dana Kita (Dana Kita) dengan RM500,000 adalah dalam bentuk barangan keperluan harian, manakala bakinya dalam bentuk akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i).

Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan berkata pihaknya merasai keluh resah dan kesusahan rakyat yang terjejas pendapatan mereka akibat penularan wabak ini.

“Ada yang tidak dapat bekerja seperti biasa, malah ada juga yg diberhentikan kerja, apatah lagi bagi mereka yang kurang berkemampuan. Situasi ini pastinya memberi kesan kepada kehidupan seharian anak-anak.

“Sebagai agensi yang berperanan menjadi tabung pendidikan negara yang sentiasa dekat dengan masyarakat, PTPTN terpanggil untuk menyumbang agar dapat mengurangkan kesusahan rakyat yang terjejas,” katanya ketika majlis penyerahan sumbangan kepada Dana Kita yang disiarkan di Facebook rasmi PTPTN.

Sementara itu, Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata setiap keluarga asnaf akan menerima sumbangan berjumlah RM200 dengan RM100 berupa barangan keperluan harian manakala selebihnya akan diberikan dalam bentuk akaun SSPN-i kepada seorang anak yang berumur 18 tahun ke bawah.

“Kami yakin Dana Kita sebagai pertubuhan kebajikan yang bergiat aktif dalam agihan sumbangan dan melaksanakan program amal akan dapat membantu PTPTN bagi merealisasikan hasrat murni ini,” katanya.

Dalam pada itu, Pengasas Dana Kita Mohd Fadli Mohamed Salleh berkata kerjasama ini merupakan salah satu program outreach Dana Kita untuk tahun ini.

“Diharapkan dengan penglibatan pihak kami dapat mengubah stigma masyarakat terhadap PTPTN yang hanya menguruskan pinjaman tetapi sebenarnya turut menyediakan skim simpanan pendidikan dan prihatin dalam membantu masyarakat,” katanya.

Mengulas lanjut, bagi melancarkan pemberian sumbangan ini, Skuad PTPTN Prihatin akan turun padang bersama sukarelawan Dana Kita bagi membantu mengurus agihan sumbangan ini.

Menurut PTPTN, agihan sumbangan ini dijangka bermula bulan ini dan berakhir pada Mac 2021.

-BERNAMA


Pengarang :