PLUS menasihatkan pengguna lebuh raya mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dan menambah nilai kad `Touch `n Go’ sebelum memulakan perjalanan.
AGENDANASIONAL

Rentas negeri, PLUS ingatkan pengguna patuh SOP kekang Covid-19

KUALA LUMPUR, 6 DID: PLUS Malaysia Bhd (PLUS) mengingatkan pengguna lebuh raya melakukan perjalanan rentas negeri yang dibenarkan mulai esok agar terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19.

PLUS dalam kenyataan hari ini menasihatkan orang ramai antara lain supaya memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal serta mendaftarkan diri menggunakan aplikasi MySejahtera apabila singgah di kawasan rehat dan rawat (R&R), hentian sebelah dan restoran jejantas di sepanjang lebuh raya.

“PLUS mengalakkan pelanggan lebuh raya yang melakukan perjalanan agar lebih bertanggungjawab semasa situasi wabak Covid-19 ini.

“Pengguna lebuh raya boleh menyemak status destinasi yang dituju daripada perspektif Covid-19 sebelum memulakan perjalanan yang boleh didapati menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) atau Aplikasi MySejahtera,” menurut kenyataan itu.

Pengendali lebuh raya berkenaan turut mengingatkan orang ramai agar membuat urusan tambah nilai kad Touch ‘n Go lebih awal dan memastikan baki mencukupi sebelum memasuki lebuh raya bagi menggalakkan transaksi tanpa sentuh dan tanpa tunai yang berperanan mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

Orang ramai juga dinasihatkan memuat turun Aplikasi PLUS untuk pelbagai urusan yang memudahkan perjalanan termasuk membuat prapesanan makanan di R&R terpilih bagi mengurangkan masa menunggu dan beratur membeli makanan selain menjaga penjarakan fizikal lebih efisien.

– BERNAMA


Pengarang :