Setiausaha Kehormat Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) merangkap Sekretariat KLWBC Sheikh Faisal Sheikh Mansor (tiga, kanan) bersama dengan Pengurus Pusat Maklumat dan Perpustakaan, Hasnita Ibrahim (empat, kanan) dan tetamu yang hadir bergambar pada Majlis Pelancaran Kebun Bandar Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM) dan Little Free Library Sungai Bonus Kuala Lumpur pada 26 Disember 2020. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Riadah sambil membaca percuma di Kebun Bandar PPM

KUALA LUMPUR, 26 DIS: Warga kota kini boleh beriadah dan membaca buku secara percuma sambil menikmati keindahan alam semula jadi di Kebun Bandar Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM) yang bertempat di Sungai Bunus.

Setiausaha Kehormat Persatuan Penerbit Buku Malaysia (Mabopa) merangkap Sekretariat Kuala Lumpur Ibu Kota Buku Dunia (KLWBC) 2020 Sheikh Faisal Sheikh Mansor berkata di Kebun Bandar PPM terdapat pelbagai tanaman dan ruang santai disediakan bagi memupuk minat membaca dalam kalangan masyarakat.

“Dengan usaha Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mencantikkan lagi kawasan River of Life (RoL), ini adalah masa untuk memberikan nafas baru kembali kepada persekitaran dengan aktiviti bermanfaat yang boleh menggalakkan lebih ramai orang untuk datang.

“Secara tidak langsung, kami mendidik mereka sambil membaca sepanjang RoL ini, itu yang diharapkan KLWBC 2020 agar dapat menjadi legasi pada tahun-tahun seterusnya,” katanya selepas melancarkan Kebun Bandar PPM dan Little Free Library (LFL) di Kebun Bandar Sungai Bunus di sini hari ini.

Beliau berkata dengan kedua-dua usaha itu (Kebun Bandar PPM dan LFL), maka jelaslah objektif dan tujuan projek Kebun Kejiranan Local Agenda 21 Kuala Lumpur (LA21 KL) dalam mendapatkan kerjasama penduduk setempat di tepi-tepi sungai di Kuala Lumpur dengan membantu membangunkan kawasan tersebut sebagai tapak pertanian dan rekreasi.

“Pihak DBKL pernah mengadakan satu pertandingan Kebun Kejiranan LA21 KL dan antara kriteria Permakahan Pertandingan Kebun Kejiranan Bandar 2018 adalah dengan mengadakan program yang bercorak ilmiah di kebun bandar Sungai Bunus. Jadi, dengan pelancaran kedua LFL ini, ia dilihat sejajar dengan kriteria yang diperlukan,” katanya.

Antara kemudahan yang disediakan di Kebun Bandar PPM adalah kerusi dan meja serta gazebo selain mempunyai tanaman seperti roselle, limau nipis, cili, bayam brazil, lengkuas, bendi, daun kesum dan misai kucing.

LFL adalah program ‘perpustakaan bersaiz rumah anak patung’ yang dimulakan pada tahun 2009 atas inisiatif Todd Bol dari Hudson, Wisconsin dan Rick Brooks, jurulatih dari University of Wisconsin-Madison, Amerika Syarikat bagi menyemarakkan minat membaca.

“Di Malaysia, LFL pertama telah diwujudkan di Nilai Impian pada Disember 2014 oleh Ketua Pustakawan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nor Azzah Momin. Gerakan di Malaysia turut menarik minat ramai individu dan organisasi kerajaan serta swasta dan di seluruh negara. Kebun Bandar PPM juga akan tercatat di peta dunia,” katanya.

Beliau berkata, LFL mempunyai satu konsep yang unik dan mudah iaitu individu boleh ambil sebuah buku, tinggalkan sebuah buku (sumbangan), tiada tarikh pulang, tiada denda lewat pemulangan, tiada kad keahlian perpustakaan diperlukan, serta dibuka 24 jam setiap hari seminggu.

“Saya berharap semua warga PPM dan Bernama mengambil peluang ini dengan baik dan bersama-sama memanfaatkan kewujudan LFL ini bagi menyokong pengiktirafan KLWBC 2020 dalam menunjukkan komitment tinggi oleh Malaysia terhadap penganjuran aktiviti, promosi buku dan pembacaan.

“Inisiatif ini diharapkan dapat meningkatkan budaya membaca dan dapat melahirkan masyarakat yang berilmu serta bermaklumat. Saya menyeru rakyat Malaysia terus membaca dan menyemarakkan sambutan KLWBC 2020 di negara kita,” katanya.

Turut hadir Naib Presiden 1 Persatuan Pustakawan Malaysia yang juga bekas Ketua Pustakawan Perpustakaan Tuanku Bainun Universiti Pendidikan Sultan Idris, Siti Sumaizan Ramli dan Penyelaras Program Bookwalk & Bookhunt serta Kebun Bandar PPM @Bunus River Hasnita Ibrahim.

– BERNAMA

 


Pengarang :