AGENDAEKONOMINASIONAL

Ringgit dibuka rendah sedikit 4.0350/0400 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 18 DIS: Ringgit dibuka rendah sedikit berbanding dolar AS pagi ini berikutan pengukuhan dolar yang dirangsang oleh perundingan akhir mengenai cadangan rang undang- bantuan Covid-19 bernilai US$900 bilion oleh pegawai Rumah Putih dan pemimpin kongres.

Pada pukul 9.03 pagi, ringgit disebut harga pada 4.0350/0400 berbanding dolar AS, daripada 4.0320/0370 semalam.

Seorang penganalisis berkata walaupun perbincangan itu dijangka berlarutan sehingga hujung minggu, terdapat harapan yang tinggi bahawa rang undang-undang itu akan diluluskan sebelum musim cuti dan ini sekali gus mampu meringankan beban kewangan jutaan rakyat Amerika.

“Pemimpin kongres telah menyatakan perkembangan memberangsangkan beberapa hari lepas dan keyakinan amat tinggi untuk mengelakkan penutupan kerajaan,” kata beliau

Beliau menambah ringgit bagaimanapun lebih cenderung untuk meningkat ketika ditutup, didorong oleh harga minyak yang tinggi dan peningkatan jumlah mereka yang cuba mendapatkan faedah pengangguran di AS.

“Sekiranya pakej rangsangan itu tidak diluluskan, ia akan mengheret turun nilai dolar dan ini sudah pastinya memberi peluang untuk ringgit diniagakan lebih tinggi,” kata beliau.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama yang lain.

Ia susut sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.0414/0463 daripada 3.0410/0460 ketika ditutup petang Khamis dan lebih rendah berbanding euro kepada 4.9445/9510 daripada 4.9315/9389.

Bagaimanapun, mata wang tempatan itu mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.9076/9128 daripada 3.9111/9171 sebelumnya dan menokok berbanding pound Britain kepada 5.4698/4770 daripada 5.4771/4851.

-BERNAMA

 


Pengarang :