AGENDANASIONAL

Ringgit meningkat, dibuka kukuh berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 31 DIS: Ringgit mengekalkan aliran meningkat pagi ini, dibuka lebih kukuh berbanding dolar AS berikutan optimisme mengenai vaksin Covid-19 menguasai sentimen terhadap perkembangan pandemik yang negatif, kata Ketua Strategi Pasaran Global Axi Stephen Innes.

Pada 9.00 pagi, mata wang tempatan naik kepada 4.0260/0310 berbanding dolar AS daripada 4.0350/0390 semasa ditutup pada Rabu.

Innes berkata pelaksanaan vaksin yang cepat di United Kingdom (UK) memberi harapan bahawa isu mengenai pengedaran vaksin dari segi logistik di seluruh dunia akan dapat diatasi dengan mudah, membawa kepada ledakan ekonomi yang lebih cepat daripada jangkaan.

“Ringgit merupakan penerima manfaat yang besar berikutan situasi semasa mengenai minyak, eksport dan perjalanan sejajar dengan optimisme terhadap vaksin yang akan membawa kepada permulaan yang kukuh pada 2021 untuk ringgit.

“Dijangka aktiviti pada akhir tahun akan mendominasi aktiviti hari ini dan perdagangan mata wang akan mencatatkan lebih banyak transaksi berbanding spekulatif,” katanya kepada Bernama.

Prestasi ringgit yang lebih kukuh itu turut disokong oleh harga minyak yang lebih tinggi. Pada masa ini, penanda aras minyak mentah Brent naik 0.5 peratus kepada AS$51.34 setong.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama lain.

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0447/0492 daripada 3.0441/0481 sebelum ini dan naik berbanding euro kepada 4.9540/9618 daripada 4.9497/9559 semalam.

Unit tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.9034/9087 daripada 3.9084/9126, bagaimanapun susut berbanding pound kepada 5.4931/5011 daripada 5.4775/4846 sebelum ini.

– BERNAMA


Pengarang :