Foto ihsan Tourism Selangor
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Rumah inap Selangor tawar pengalaman hidup luar bandar

OLEH TOURISM SELANGOR

Bercuti bersama keluarga di rumah inap Selangor merupakan pilihan terbaik. Pengalaman merangkumi aktiviti bermalam sebagai tetamu dan tinggal bersama keluarga angkat tempatan.

Rumah inap merupakan satu aktiviti pelancongan terbaik bagi memahami budaya, suasana kampung, kesenian dan cara hidup sesebuah masyarakat tersebut.

Berikut disenaraikan enam rumah inap berlesen dan berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan yang boleh dikunjungi:

1. Rumah Inap Banghuris, Sepang

Terletak di Sepang dengan kapasiti 80 rumah dan 100 bilik serta pernah mendapat pengiktirafan Augerah Pelancongan Malaysia pada 2004 dalam kategori rumah inap terbaik.

Pelbagai aktiviti boleh dilakukan meliputi permainan gasing, menyumpit, membuat dan bermain wau, menu masakan rebung, lawatan ke kilang kerepek dan snek tradisional (cakar ayam), lawatan ke
ladang buah naga, kopi, kelapa sawit, ladang getah dan demonstrasi menoreh getah.

Harga mengikut pakej yang dipilih antara RM70 hingga RM300 seorang. Untuk maklumat lanjut, layari lcct.com.my atau hubungi 019-3919547.

2. Rumah Inap Sungai Haji Durani, Sabak Bernam

Tempat yang sangat sesuai untuk membawa keluarga anda bercuti dalam suasana kampung dikelilingi sawah padi. Pelbagai aktiviti disediakan antaranya permainan congkak, tarik upih pinang, bergelumang dalam lumpur, mewarna batik, melerai padi daripada tangkai, memancing dan menangkap ikan menggunakan tangan dalam sawah, bermandi di sungai, lawatan ke bengkel kuih tradisional dan kilang nata de coco.

Harga mengikut pakej yang dipilih antara RM65 hingga RM300 seorang. Untuk maklumat lanjut, layari doranihomestay.com atau hubungi 013-6077025.

3. Rumah Inap Kampung Sungai Sireh, Kuala Selangor

Rumah inap dikelilingi hutan hijau ini amat tenang dan damai untuk dikunjungi ditambah dengan lapangan tanaman sawah padi. Jika menginap di sini, anda akan disambut mesra tuan rumah dan masyarakat setempat serta dibawa melakukan aktiviti kampung.

Antaranya mewarna batik, menaiki traktor serta belajar penanaman padi tradisional, cara penebangan kayu dan tanaman herba, menangkap ikan keli dalam lumpur menggunakan tangan, berkayak, memancing dan meneroka hutan.

Harga mengikut pakej yang dipilih antara RM60 hingga RM200 seorang. Untuk maklumat lanjut, layari agrotourismhomestaysgsireh.blogspot.com atau hubungi 019-3467372.

 

4. Rumah Inap Papitusulem, Sabak Bernam

Terletak di Sekinchan, rumah inap ini membolehkan anda merasai kehidupan kampung dengan tinggal bersama keluarga angkat yang bekerja sebagai petani. Anda akan dibawa ke kawasan pertanian sawah padi, melawat kebun sayur dan tempat pemprosesan santan kelapa. Anda juga dipersembahkan dengan tarian kebudayaan kompang, seni silat, kuda kepang dan cempuling.

terdapat juga tempat rekreasi untuk berkayak, menaiki bot serta memancing di laut. Harga mengikut pakej yang dipilih antara RM20 hingga RM120 seorang. Untuk maklumat lanjut, layari papitusulemhomestay.yolasite.com atau hubungi 017-2712260.

5. Rumah Inap Anjung Damai Kampung Sungai Lang Tengah, Kuala Langat

Destinasi tumpuan pelancong tempatan dan luar negara kerana suasana nyaman dan aktiviti kampung menyeronokkan. Rumah inap ini dilengkapi fasiliti seperti penghawa dingin, tempat letak kenderaan yang luas, bilik air moden serta berhampiran pasar raya dan restoran.

Aktiviti di sini adalah seperti menunggang ATV, lawatan ke ladang ternakan, menyusuri hutan paya bakau, dan banyak lagi. Harga antara RM60 hingga RM250 seorang. Untuk maklumat lanjut, layari @anjungdamaihomestay/facebook atau hubungi 013-2333768.

6. Rumah Inap Bougainvillea Kampung Sungai Kertas, Gombak

Menginap di sini sangat menarik kerana banyak aktiviti disediakan. Penduduk Kampung Sungai Kertas sentiasa mengamalkan aktiviti bergotong-royong dan meraikan warisan tradisi.

Aktiviti ditawarkan adalah seperti pakej perkahwinan Melayu dengan menampilkan persembahan kebudayaan, ruang tempat pengantin dan pakaian perkahwinan pengantin Melayu. Pengunjung juga berpeluang belajar memasak menu masakan tradisi seperti sambal tempe serta makanan masyarakat Mandailing iaitu Nasi Upa-Upa.

Harga mengikut pakej yang dipilih dalam lingkungan harga RM98 hingga RM380 seorang. Untuk maklumat lanjut, layari sungaikertas.blogspot.com atau hubungi 016-3920439.


Pengarang :