Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan Datuk Saarani Mohamad (kiri) berbual dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi, Dr Abdul Aziz Bari pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Saarani angkat sumpah MB Perak esok

IPOH, 9 DIS: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah telah memberi perkenan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan Datuk Saarani Mohamad untuk dilantik sebagai Menteri Besar Perak yang baharu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Abd Rahim Mohamad Nor berkata berpandukan Perkara XVI, Fasal 2 (a) Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak, pada pertimbangan Sultan Nazrin, Saarani boleh mendapat kepercayaan sebahagian besar ADUN.

“Baginda menetapkan 11 pagi esok untuk istiadat mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar,” katanya menerusi satu kenyataan yang dibacakan Ahli Dewan Negara Perak Datuk Seri Mohd Annuar Zaini hari ini.

Saarani, 59, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Perak akan menjadi Menteri Besar Perak ke-14, menggantikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang meletak jawatan bersama seluruh barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (Exco) pada 5 Dis lepas.

Ahmad Faizal, ADUN Chenderiang, meletak jawatan selepas gagal mendapat sokongan menerusi usul ‘keyakinan majoriti ahli Dewan terhadap menteri besar’ pada Jumaat lepas.

Menerusi usul itu yang dibawa oleh Datuk Abd Manap Hashim (BN-Pengkalan Baru) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), Ahmad Faizal hanya mendapat 10 undi sokongan berbanding 48 menentang manakala satu berkecuali.

Pencalonan Saarani sebagai Menteri Besar Perak yang baharu mendapat persetujuan daripada Bersatu, Barisan Nasional (BN) dan PAS yang dicapai menerusi perbincangan antara pucuk pimpinan ketiga-tiga parti, hari ini.

Dilahirkan pada 13 Mac 1961, Saarani merupakan Ketua Umno Bahagian Lenggong dan menjadi wakil rakyat bagi DUN Kota Tampan sejak 2004, dan sebelum itu memulakan kerjaya sebagai guru pada 1982.

DUN Perak merangkumi 25 daripada BN, DAP (16), Amanah (5), Bersatu (5), PKR (3) dan PAS (3), manakala Gerakan dan Bebas masing-masing satu kerusi.

– BERNAMA


Pengarang :