Pekerja syarikat sarung tangan Top Glove menjalani saringan Covid-19 di asrama pekerja wanita di Meru pada 18 November 2020. Foto: BERNAMA
AGENDAAGENSINASIONALSELANGOR

Saringan agresif punca kes Covid-19 naik mendadak

SHAH ALAM, 12 DIS: Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) menjangkakan kenaikan kes Covid-19 di negeri ini susulan saringan lebih agresif dijalankan.

Pengerusinya berkata terdapat banyak kes yang sememangnya sudah wujud namun hanya dapat dikesan selepas individu menjalani ujian berkenaan.

“Dahulu kita tak dapat kesan sebab tak buat saringan. STFC sudah lama menyuarakan tentang potensi penularan dalam kalangan pekerja khususnya warga asing.

“Kami cadangkan dua polisi kepada kerajaan dan KKM (Kementerian Kesihatan) iaitu majikan melakukan saringan terhadap pekerja serta penggunaan ujian Antigen Rapid Test Kid (RTK-Ag). Ternyata kaedah ini berkesan dan kes mencanak naik,” kata Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menerusi kenyataan semalam.

Kelmarin, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjangkakan kes negeri ini akan kekal tinggi susulan perluasan Program Saringan Pekerja Warga Asing oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan tindakan proaktif majikan di Lembah Klang.

Sehingga kini, pengesanan kontak rapat dan pengesanan kes secara aktif masih giat dijalankan di lapangan dan kes positif diasingkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah MAEPS 2.0 serta Hospital Sungai Buloh.


Pengarang :