Program Saringan Komuniti Covid-19 secara bersasar diadakan di Dewan Orang Ramai Meru 3, Klang pada 2 Disember 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
SELANGOR

Saringan Covid-19 berskala besar di Indah Point esok

SHAH ALAM, 9 DIS: Kementerian Kesihatan Malaysia melaksanakan saringan berskala besar di Indah Point, Jalan Perigi Nanas (sektor A) Pulau Indah, Pelabuhan Klang bermula esok.

Menteri kanan (keselamatan) berkata saringan tersebut melibatkan 45 syarikat, 102 premis serta seramai 1,200 penghuni majoriti warga asing.

“Selepas kita mendengar taklimat diberikan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor, kita bersetuju untuk melaksanakan saringan bagi mencegah penularan wabak.

“Sektor A diberikan keutamaan kerana majoriti kes dicatatkan di kawasan tersebut. Sekiranya terdapat keperluan berdasarkan hasil saringan di sektor A, kawasan saringan diperluas ke sektor B dan C,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media hari ini.

Pada 21 November Pengurusan Lembaga Pelabuhan Kelang berkata pekerja warga asing yang tinggal di kuarters pekerja sekitar kedai pejabat empat tingkat di Indah Point Pulau Indah yang diuji negatif Covid-19 perlu menjalani kuarantin selama 14 hari.

Langkah pencegahan diambil susulan sebanyak 235 kes positif dilaporkan di tiga operator terminal Pelabuhan Klang iaitu Northport (Malaysia) Bhd, Westports Malaysia Sdn Bhd dan PKFZ Sdn Bhd sejak 10 November.


Pengarang :