Seorang peserta melintasi poster Jelajah Selangor Bekerja 2020 di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 6 Disember 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Selangor bantu 111 dapat kerja tidak sampai sebulan

SHAH ALAM, 9 DIS: Seramai 111 individu berjaya mendapat pekerjaan melalui program Jelajah Selangor Bekerja yang tamat hujung minggu lalu.

EXCO pembangunan generasi muda berkata seramai 642 individu lagi dipanggil untuk temu duga kali kedua dan diharap berjaya meyakinkan majikan.

Mohd Khairuddin Othman menjelaskan program tersebut memberi pengalaman baharu kepada peserta yang menjalani temu duga secara maya dan melengkapkan diri dalam suasana berbeza.

“Program ini membantu golongan hilang pekerjaan atau terjejas sumber pendapatan berikutan Covid-19 supaya mereka mendapat peluang kedua.

“Jika diikutkan ramai mahu hadir temu duga tetapi kita terpaksa hadkan bilangan mengikut arahan Majlis Keselamatan Negara,” katanya kepada SelangorKini.

Program Jelajah Selangor Bekerja 2020 anjuran Kerajaan Negeri menerima 9,969 permohonan sejak pendaftaran dibuka pada 15 September.

Sebanyak 105 majikan menyertai jelajah di Kuala Selangor pada 15 November, Gombak (21 November), Sungai Buloh (22 November), Hulu Langat (29 Disember) serta Shah Alam (5 dan 6 Disember).

Antara pekerjaan ditawarkan ialah profesor, pensyarah, tutor al-Quran, akauntan, pengurus jualan, pegawai penyelidik, juruteknik, pembaca meter dan operator panggilan.


Pengarang :