Petugas kesihatan menjalankan saringan Covid-19 ke atas penduduk Klang di Taman Bayu Perdana pada 23 Oktober 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Selangor kekal catat kes Covid-19 tertinggi, tiga kluster baharu

SHAH ALAM, 24 DIS: Kes baharu Covid-19 di Selangor menurun kepada 491 kes hari ini berbanding 535 yang dilaporkan semalam, namun masih tertinggi dalam negara.

Ketua pengarah kesihatan berkata daripada jumlah itu, sebanyak 375 kes (31.1 peratus) melibatkan kluster dan saringan kontak rapat di lapangan.

“Mengikut perincian, sebanyak 169 kes daripada kluster sedia ada, termasuk 101 kes daripada kluster baharu,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini.

“Sementara 206 kes lagi daripada saringan kontak rapat, 115 kes melibatkan lain-lain saringan dan hanya satu kes import.”

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya pada 2 Disember 2020. Foto BERNAMA

Sebanyak 1,581 kes Covid-19 dicatatkan hari ini, dengan jumlah terkumpul 100,318 kes sejak pertama kali dilaporkan di negara ini pada 25 Januari.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata tiga kluster baharu dilaporkan di Selangor iaitu Kluster Kebun Baru, Kluster Sungai Burong dan Kluster Jalan Pandan.

Menurutnya, Kluster Kebun Baru dikesan di Kuala Langat melalui saringan bersasar di sebuah kilang dengan 580 individu disaring dan 95 daripadanya dijangkiti Covid-19.

Beliau berkata Kluster Sungai Burong di Kuala Selangor pula melibatkan saringan 167 individu dengan 28 daripadanya positif.

“Bagi Kluster Jalan Pandan, ia melibatkan Lembah Pantai, Cheras, Kepong, dan Titiwangsa di Kuala Lumpur serta Gombak, Petaling, Kuala Selangor dan Hulu Langat di Selangor.

“Kes indeks bagi kluster ini dilaporkan positif pada 14 Disember melalui saringan individu bergejala. Seramai 165 individu disaring dan 30 kes dikesan setakat ini,” kata Dr Noor Hisham.


Pengarang :